KUTUBUKU CARNIVAL BOOKSTORE

Jumaat, 6 April 2012

BAB 4 : AKU BUKAN LALANG


     Bab 4

Semakin jauh melangkah pergi, semakin dekat dia menghampiri. Hampir 10 tahun peristiwa itu berlaku. Qishrina semakin lupa sejarah tersebut. Namun, hari ini sejarah itu kembali menyapa kehidupannya.

Qishrina tidak menyangka, kembara mencari rezeki ke kota besar menemukan dia dengan lelaki tersebut. Saat dia berhadapan dengan Firas Azril, denyutan nadinya seakan terhenti.

“Ya Allah, Kenapa aku mesti bertemu dengan dia lagi!”

Qishrina menutur lembut ayat itu. Dia duduk berteleku di katil bujang rumah sewanya. Aisya Ameena belum lagi pulang. Qishrina mengimbau peristiwa pagi tadi.

**********

“Terima kasih kerana sudi menjadi salah seorang keluarga Danau Holding. Awak akan diterima berkerja di sini. Laila akan membantu awak jika ada sebarang masalah.”

Waktu itu Qishrina sudah seperti tidak punya perasaan. Jika orang lain sudah tentu melompat gembira kerana diterima bekerja. Tetapi tidak bagi Qishrina. Dia terasa ingin rebah di situ juga.

“Terima kasih…Encik Firas.”

Ucapan terima kasihnya kedengaran biasa sahaja. Saat dia menyebut nama bakal majikannya, ada getaran di situ. Entah mengapa Qishrina melihat lelaki di hadapan tampak tenang sekali. Tiada langsung riak terkejut di wajahnya.

‘Mungkin dia bukan orangnya? Atau pun aku yang tersalah orang?’

Qishrina bermonolog sendiri.

“Qishrina…”

Saat tanggannya ingin menarik daun pintu bilik mensyuarat, namanya di panggil oleh Firas Azril. Dia terkesima dan berpaling perlahan.  Wajah tampan Encik Firas di tatap. Qishrina berkata di dalam hati, jika Encik Firas bersuara tentang apa yang berlegar di benaknya dia pasti air matanya akan terus mengalir. Qishrina menati dalam debaran.

“Er… awak… awak boleh mula berkerja esok!”

Jauh menyimpang dari apa yang difikirkan! Dia menghela nafas seraya melangkah pergi meninggalkan bangunan agam itu secepatnya. Tiba di luar, tidak semena-mena dia menangis. Qishrina sendiri tidak tahu mengapa dia menangis. Dia menahan sebuah teksi yang kebetulan lalu di situ.

**********

“Ya Allah! Kau ada rupanya. Kenapa aku ketuk pintu tak buka? Panggil nama kau tak sahut? Nasib baik aku bawa kunci pendua,”

Belon lamunan Qishrina pecah berderai. Tubuhnya sedikit terhenjut akibat terkejut dengan sergahan Aisya Ameena yang entah bila tiba.

Astafirullah al azim, Isya! Kau main sergah je masuk bilik aku!” Qishrina berkata dengan suara yang agak tinggi. Mukanya ketat menahan marah.


Aisya Ameena turut terkejut mendengar kenyataan dari sahabatnya itu. dia yang sedang bercekak pinggang menghampiri Qishrina.

“Aku berdiri kat pintu tu dah lama kau tahu? Kau tu yang tak sedar. Yang kau ni kenapa? Termenung panjang. Ni, air mata kat pipi ni. Kau menangis ye?”

Dia menyeka laju air mata itu. Jari runcingnya meraup wajah putih itu.. dia tidak sedar bahawa dia sedang menangis. Rasa malu mula menular di hatinya. Dadanya terasa ketat.

“Bila kau balik? Kau dah makan?” dia cuba berbasi-basi dengan Aisya Ameena.

Helaan nafas kasar kedengaran. Aisya Ameena mengambil tempat di hujung katil milik Qishrina. Tas tangan yang tersangkut di bahu dirungkai dan di letak ke tepi. Dia memandang wajah Qishrina yang menunduk ke bawah.

“Rina, kau ada masaalah ke?” Aisya Ameena menyoal. Serius.

Diam. Suasana menjadi bisu. Hanya kedengaran pusingan kipas di syiling.

“Rina, kau pandang muka aku sekarang.”

Terkesima dengan nada suara Aisya Ameena yang tiba-tiba tegas itu, Qishrina akhirnya mengangkat wajahnya. Mata Aisya Ameena membulat ke arahnya. Sedari dahulu, itulah sikap Aisya Ameena. Dia akan tegas dalam segala hal. Sikap itulah yang mengangkatnya untuk dipilih sebagai ketua pengawas di sekolah ketika dahulu.

“Sekarang kau cerita pada aku apa yang terjadi siang tadi? Ada orang usik kau? Pukul kau?” dia bertanya garang.

“Firas…Firas Azril.”

Nama itu disebut perlahan oleh Qishrina. Namun dapat ditangkap oleh pendengaran Aisya Ameena. Dia yang pada mulanya duduk menegak tiba-tiba mengendur. Kakinya yang terjuntai ke bawah diangkat lalu bersila. Dia mendengus lembut.

“Apa yang kau ingatkan lagi dengan budak tu. Perkara dah lama Rina. Pokok pun, kalau kita tanam masa tu, sekarang ni dah berbuah kau tahu. Dia dah pergi jauh daripada kau. Kau tak payah la teringat dia lagi,” lancar kata-kata yang keluar daripada mulut Aisya Ameena.

“Dia majikan aku sekarang. Dia pewaris Danau Holding.”

Aisya Ameena terasa biji matanya bagaikan mahu tersembul keluar ketika itu juga. Lidahnya menjadi kelu untuk membalas bicara Qishrina.

“Dia semakin dekat dengan aku sekarang Isya,” Qishrina menyambung.

Air liur ditelan kasar. Terasa pahit.

“Kau pasti… kau tak salah orang?” Aisya Ameena masih tidak percaya.

“Aku takkan lupa wajah tu. Wajah yang buatkan aku merana hampir setahun,” ada nada sayu pada suara itu.

Aisya Ameena tidak mapu berkata apa-apa lagi. Dia tidak mahu wajah ceria gadis itu dicemari oleh ‘cerita lama’ itu. Tapi apakan daya. Kuasa Allah.  Dia berhak menemukan sesiapa sahaja.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan