BAB 5
Hampir
2 bulan Darwisyah tinggal di kampung itu. Dia tidak punyai masalah untuk
bergaul dengan sahabat-sahabat lain terutama di sekolah. Syukur
alhamdulillah, mereka menerima kehadiran Darwisyah dengan senang.
Sangkaan Darwisyah, dia akan menerima kesulitan jika dia mula
berpindah ke sekolah baru. Ternyata apa yang difikirkan olehnya jauh
menyimpang.
Hari
ini Darwisyah mengikut nenek Leha ke rumah jirannya. Kenduri perkahwinan akan diadakan pada esok
hari. Menurut apa yang dikatakan oleh
nenek Leha kepada Darwisyah, bakal
pengantin lelaki itu seorang doktor pakar manakala pasangannya nanti pula
adalah seorang pensyarah di sebuah institut pengajian tinggi di ibu kota. Terpegun sebentar Darwisyah ketika
mendengarnya.
“Darwisyah! Sudah siap atau belum?”
Nenek
Leha melaung lembut nama penuh cucunya.
Darwisyah yang mendengar tersenyum.
Suka benar dia apabila nama penuhnya disebut. Walaupun namanya hanya satu patah
perkataan, namun cukup sukar bagi
orang-orang sekeliling memanggilnya dengan nama penuh. Waima ibu dan bapanya. Isya. Itu nama yang sering diungkap.
“Sudah
mak tok!” Darwisyah keluar dari balik
tirai biliknya. Baju kurung hijau pucuk
pisang tersarung kemas di tubuhnya yang kurus dan tinggi. Mahkota wanitanya tertutup litup dengan
tudung rona senada. Cantik!
“Amboi! Cantiknya cucu mak tok.”
“Cucu
mak tok, mestilah cantik!”
Darwisyah
membalas pujian neneknya dengan gurauan.
Tersengih apabila dipuji sebegitu.
Berbunga-bunga hatinya.
“Sudah. Mari cepat.
Mak tok sudah lewat ni.”
Selipar
putih bersihnya disarung lalu mengikut langkah nenek Leha. Tempat yang ingin ditujuinya tidak jauh. Hanya selang beberapa buah rumah sahaja. Di selekoh simpang masuk ke rumah
neneknya, mereka bertembung dengan
beberapa orang kampung yang turut ingin ke sana. Pada pandangan mata Darwisyah, mereka nampaknya sebaya dengan nenek
Leha. Darwisyah menyalami mereka tanda
hormat setelah dikenalkan oleh neneknya.
Walaupun dia berasal daripada bandar,
tetapi didikan tentang adat dan adab sangat dititik beratkan oleh kedua
orang tuanya.
“Anak
siapa ni Leha?” tanya salah seorang
daripada mereka.
“Anak
Lokman!” jawab nenek Leha. Bersemangat.
“Oh! Sudah besar ya. Berapa umurnya?” tanyanya lagi. Tampak teruja sekali. Darwisyah hanya tersenyum.
“Sudah
15 tahun.”
Dari
gaya perbualan mereka bersama mak tok,
kelihatan seperti mereka mengenaliku.
Cuma aku yang tidak mengenali mereka.
Getus
hati kecil Darwisyah. Mereka terus
berbual. Sesekali galak tawa mereka
pecah. Mungkin ada yang mencuit hati
mereka ketika itu. Darwisyah hanya
mendegar. Dia menikmati suasana kampung
yang sudah lama tidak dirasai. Walaupun
ketika itu matahari pagi sudah lama muncul,
namun dingin embun pagi masih terasa.
Sejuk dan nyaman.
Sedang
asyik menghirup haruman daun hijau sambil berjalan, telinga Darwisyah disapa oleh satu pertanyaan
oleh salah seorang daripada mereka.
“Ini
anak Lokman?”
Darwisyah
berpaling. Wajah insan yang boleh
dipanggil mak cik itu dipandang.
Berkerut dahinya. Tidak terkecuali
dahi Darwisyah juga. ‘Mengapa dia
seperti hairan apabila mengetahui aku ini anak Lokman?’ bisik hatinya.
Beberapa
saat setelah soalan itu diajukan, tiada
langsung jawapan yang diperolehi. Nenek
Leha hanya diam. Lebih ajaib apabila
melihat perubahan pada wajah neneknya.
Lain. Seperti terkejut.
“Bukankah
Lokman…”
“Er… orang dah ramai tu. Mari kita ke sana cepat.”
Mak
cik tersebut bersuara. Lagaknya seperti
ingin menyatakan sesuatu, namun
cepat-cepat nenek Leha memotong percakapannya.
‘Pelik! Apa yang mak cik itu cuba sampaikan? Mak tok seperti tidak mahu mak cik itu
menghabiskan ayatnya. Kelihatan seperti
sedang sorokkan sesuatu sahaja. Ahh… Tidak elok bersangka buruk sebegini. Mak tok pernah berpesan. Jangan bersangka sesuatu yang tidak baik
tentang orang lain. Berdosa. Mak tok juga berkata jika menyedari diri kita mula berasa demikian, kunci utamanya adalah dengan beristighfar.’
“Astagfirullah hal azim!”
Darwisyah cepat-cepat beristighfar
dalam hati. Kepalanya digelengkan
beberapa kali. Matanya juga dipejamkan
sedetik. Mengusir jauh rasa itu. Sebaik sahaja Darwisyah membuka mata, baru dia menyedari bahawa dia keseorangan ketika
itu. Neneknya dan lain-lain sudah jauh
ke hadapan.
Cepat sahaja Darwisyah membuka langkah
kaki. Cuba mengejar. Namun anak matanya dapat menangkap pandangan
aneh yang dilemparkan salah seorang daripada mak cik yang bersamanya sebentar
tadi. Mak cik yang cuba menyatakan
sesuatu tetapi dipintas laju oleh neneknya.
‘Seperti ada yang sedang disembunyikan…’ Hatinya mula bergetar.
Tanpa Darwisyah menyedari, ada sepasang mata sedang memerhatinya dari
jauh.
*****
Seminggu
sebelum itu…
Puan Normah duduk di sofa sambil
menyilang kakinya. Urat-urat rambut
halus berwarna putih mula kelihatan di kepalanya. Tetapi hanya sedikit. Itupun kerana rambut baru yang mulai
tumbuh. Selebihnya sudah bertukar warna
kepada coklat gelap. Semuanya untuk
mengaburi pandangan masyarakat daripada melihat rambut putihnya atupun lebih
tepat uban.
Mata wanita itu merenung tepat ke arah
wajah seorang gadis dewasa. Umurnya
sekitar 30-an. Gadis dewasa itu duduk
bersandar berhadapan dengan Puan Normah.
Lagaknya bersahaja.
“Bagaimana? Boleh tolong Mak Su?” Puan Normah bertanya.
“Boleh.
Mak Su nak Qasya buat apa?” jawab
gadis.
Gadis yang menggelar dirinya Qasya itu
adalah anak saudara kepada Puan Normah.
Anak kepada abang sulungnya.
Qasya masih lagi bujang. Dia baru
sahaja tamat belajar di luar negara.
Selepas kembali ke tanah air beberapa hari lalu, Qasya masih lagi belum berkerja. Hadir dalam keluarga yang berharta, tidak sukar baginya untuk memperoleh semua
itu. Apatah lagi keluarganya punyai
empayar perniagaan sendiri.
“Tengok gambar ni.”
Puan Normah melempar kasar 2 keping
gambar di atas meja kaca di hadapan mereka.
Berselerak. Qasya
mengambilnya. Tidak puas dengan sekeping
gambar, dia mencapai sekeping lagi.
“Gambar siap ni Mak Su?” soalnya sambil merenung gambar itu.
“Qasya tak perlu tahu siapa. Sekarang Mak Su mahu Qasya pergi cari budak
perempuan ni. Jika sudah dapat, cuba dekati dia.”
Puan Normah diam selepas itu. Wajahnya penuh angkuh. Kulit wajahnya yang sememangnya berkedut
bertambah berkedut jadinya.
“Itu sahaja?” soal Qasya lagi. Dia mempamerkan mimik muka sedikit hairan.
“Buat masa sekarang, itu sahaja yang Mak Su mahu Qasya
lakukan. Arahan seterusnya, Mak Su akan beritahu nanti. Faham?”
“Faham Mak Su!”
Qasya menjawab. Mereka berpandangan sebentar. Bibir masing-masing mengukir satu senyuman
yang sukar di mengerti. Hanya mereka dan
Allah yang tahu.
“Apa yang faham tu Qasya?”
Suara lelaki tiba-tiba kedengaran
ketika itu. Dua pasang mata berpaling
mencari arah suara tersebut. Riak
terkejut sedikit terlihat di wajah masing-masing.
“Pak Su! Terkejut Qasya!”
Encik Zulkarnain rupanya. Dia yang baru muncul dari tingkat atas
menuruni anak tangga dengan penuh berhati-hati.
Qasya tersenyum lebar.
“Apa yang fahamnya? Dari atas lagi Pak Su dengar?” Encil Zulkarnain bertanya lagi. dia melabuhkan punggungnya di ruang sofa yang
kosong.
“Abang ni. Terlupakah apa yang kita rancang sebelum
ni?” Puan Normah cuba mengingatkan
suaminya.
“Oh!
Jadi, Qasya terima tawaran kita?”
“Mestilah!” jawab isterinya penuh semangat.
“Baguslah jika begitu. Pak Su tahu,
Qasya bijak dalam perkara ini.
Ingat! Jika hasilnya memuaskan, ganjaran lebih besar menanti Qisya.”
Senyuman Qasya bertambah lebar apabila
mendengar janji yang dituturkan oleh bapa saudaranya. Matanya yang bercelak hitam bertambah bulat
jadinya kerana sangat teruja.
Beberapa minit berbual, Qasya mohon undur diri. Dia bangun dari tempat duduknya. Skirt paras lututnya di tarik-tarik agar
tidak melekat di tubuhnya. Blouse
kemejanya dirapikan sebelum mencapai tas tangannya. Kepingan foto disimpan kemas di dalam beg
tersebut.
“Mak Su, Qasya pulang dahulu. Jika ada apa-apa Mak Su hubungi Qasya
ya,” ujar Qasya ketika memeluk Puan
Normah.
Tiada lagi budaya salam-menyalam dalam
hidupnya. Apatah lagi ucapan salam
ketika mengunjungi rumah tersebut. Begitu
juga ketika ingin berpisah.
Qasya hanya mengenali budaya
bersentuh-sentuh pipi selain daripada menghulur tangan untuk bersalaman. Manakala ucapa ‘hello’ pula menggantikan ucapan assalamualaikum. Sama juga ketika ingin berpisah. Ucapan ‘bye-bye’
yang akan kedengaran.
Bagi Qasya, ucapan-ucapan itu tidak sesuai digunakan lagi
ketika itu. Itulah tanggapannya selepas
ditegur oleh seorang wanita tua di sebuah gerai makan suatu hari. Ucapan salam dalam kehidupan harian bukanlah
satu perkara yang tidak ada apa-apa kebaikan.
Malahan ada baiknya. Rasulullah
pernah bersabda, “Orang yang memulakan memberi salam adalah terlepas daripada sifat
sombong dan takbur” ( Riwayat Al-Baihaqi & Al-Khatib ).
*****
Di banglo mewah milik Encik
Lokman, Puan Zalikha sedang menyelongkar
kasar laci biliknya. Hampir kesemua
laci-laci di bilik itu di buka. Tidak
cukup dengan laci almari pakaian, almari
meja milik Encik Lokman turut di bukanya.
Habis berterabur helaian-helaian kertas di lantai.
“Ya Allah Ika! Apa yang awak buat ni?” menjerit kecil Encik Lokman ketika melangkah
masuk ke dalam biliknya. Matanya meliar
memandang lantai bilik. Apa sudah jadi
dengan bilik ini? Ujarnya dalam hati.
“Abang,
abang ada nampak atau tidak sampul surat berwarna coklat?” pertanyaan Encik Lokman dibalas dengan
pertanyaan kembali oleh isterinya.
Tangannya ligat mengeluarkan satu persatu barang daripada dalam laci
yang ditarik keluar.
“Sampul surat coklat?” suara Encik Lokman kedengaran.
“Ya!
Sampul surat berwarna coklat. Saiznya lebih kurang kertas A4 dan tidak
ada sebarang tulisan di atasnya. Ada
nampak atau tidak?”
Sedar akan Encik Lokman akan bertanya
lagi, Puan Zalikha terlebih dahulu
memberitahu. Peluh sudah mula merenek di
dahinya. Tudung yang tersarung di kepala
sudah senget dan hilang bentuk.
“Tidak pula. Ika simpan di mana sebelum ini?” soal Encik Lokman pula. Helaian kertas yang bertaburan di lantai
dikutip lalu disusun kemas sebelum meletaknya di atas meja tulisnya.
“Ika simpan di dalam laci almari
itu,” jawab Puan Zalikha sambil
menunding jari ke arah sebuah almari pakaian.
Encik Lokman memandang arah yang di
tunjuk oleh isterinya. Dia menarik nafas
panjang dan menghembus perlahan. Wajah
isterinya yang sudah basah dek peluh ditatap.
“Betul awak simpan di situ? Atau pun di tempat lain?” Encik Lokman cuba mengembalikan ingatan Puan
Zalikha jikalau dia tersalah letak.
“Tidak!
Ika yakin. Ika simpan dalam laci
almari itu, bersama dengan sijil-sijil
dan surat penting milik Darwisyah.”
Sebaik sahaja Puan Zalikha menghabiskan
ayatnya, serta-merta dia berpaling dan
memandang wajah suaminya.
“Sijil Darwisyah! Ya Allah!”
Terkesima pasangan suami isteri
itu. Masing-masing kaku di tempat
duduk. Encik Lokman meraup
wajahnya. Matanya mulai bergetar. Perasaan Puan Zalikha sudah berkecamuk. Risau,
takut, cemas. Semuanya sudah menjadi satu.
“Tidak mungkin…” rintihnya dalam hati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan