KUTUBUKU CARNIVAL BOOKSTORE

Jumaat, 6 April 2012

BAB 10 : AKU BUKAN LALANG



Bab 10

“Apa hubungan kau dengan dia?” tanya Qishrina, tegas!

Dalam satu malam, Qishrina mendapat pelbagai kejutan! Langsung tidak terduga olehnya. Kehadiran ke majlis itu atas jemputan Datuk Fadhil menemukan Qishrina dengan macam-macam orang.

“Rina, kau dengar dulu apa aku cakap…” selar Aisya Ameena.

“Apa lagi yang kau nak cakap? Tak sangka aku. Sanggup kau buat aku macam ni,” tuduh Qishrina dalam esak tangis.

Sewaktu di rumah Datuk Fadhil tadi, Qishrina terpandang sebuah kereta yang begitu dekat dengan hidupnya. Honda City hitam yang terpakir bersebelahan banglo elit itu dipandang lama. Dia berbisik dalam dirinya bahawa itu kereta Aisya Ameena. Qishrina yang masih lagi ragu-ragu menjenguk pula nombor pendaftaran kereta itu. Sama!

Dia cuba membuat andaian sendiri bahawa kereta itu dipinjam oleh sahabat-sahabat Aisya Ameena untuk ke sini. Mungkin salah seorang anak-anak Datuk Fadhil kenalan-kenalan mereka juga. Ini kerana sewaktu Qishrina keluar, Aisya Ameena sedang bersantai di ruang tamu. Dia kelihatan malas untuk keluar.

Namun telahannya tersasar apabila Qishrina terserempak Aisya Ameena sedang bergelak ketawa di satu sudut rumah agam itu bersama beberapaa orang tetamu. Lebih membuatkan dia terpana adalah Firas Azril adalah salah seorang tetamu itu!

“Kau salah faham aje ni Rina. Sebenarnya aku pun terkejut dengan semua ni.”

Aisya Ameena cuba menolak dakwaan yang dikeluarkan oleh Qishrina terhadapnya. Waktu itu masing-masing baru tiba di rumah.

“ Sudah! Betul apa yang aku fikir. Sejak malam tu lagi, aku tahu kau ada sorokkan aku sesuatu.”

Ujar Qishrina bersama juraian air mata di pipi. Saat itu dia sudah membuat keputusan. Dia dan Aisya Ameena sudah tidak boleh bertentang muka lagi. Ini bermakna dia harus keluar dari rumah yang didudukinya sejak hari pertama dia ke sini. Dia lantas bergerak ke biliknya. Beg pakaian di dalam almari dikeluarkan. Baju miliknya yang tergantung dan terlipat di rentap kasar lalu disumbat ke dalam beg itu.

“Rina, kau buat apa ni? Kau nak ke mana?”Aisya Ameena mulai cuak apabila melihat Qishrina.

“Aku tak sanggup lagi nak berpura-pura depan kau dalam rumah. Lebih elok aku pindah dari sini.”

“Rina, aku minta maaf kat kau. Tapi kau jangan buat macam ni kat aku. Aku rayu Rina, tolong…”
Aisya Ameena juga mulai sebak. Perasaan itu dapat dirasai melalui suaranya yang mulai bertukar nada. Qishrina pula sudah tidak mampu lagi untuk terus berhadapan dengan keadaan ini. Cukuplah selama ini dia banyak diam semata-mata untuk menjaga hati Aisya Ameena yang banyak membantunya. Tetapi malam ini, nilai kesabarannya sudah kering!

“Terima kasih Isya. Kau banyak bantu aku selama ni. Aku juga nak minta maaf, sebab banyak menyusahkan kau semenjak aku tiba. Tolong halalkan makan dan minum aku kat rumah ni,” Qishrina bersuara. Dia sudah bersedia untuk melangkah pergi.

Aisya Ameena menangis. Dia juga terkejut dengan apa yang telah berlaku malam itu. Tubuh Qishrina yang sudah bergerak laju menuju ke muka pintu diekori. Tangan sahabatnya diraih, namun ditepis kasar! Beberapa langkah sebelum tiba di pintu yang sedia terbuka, Qishrina berhenti dengan tiba-tiba dan berpaling. Beg baju ditangan diletak ke lantai kemudian dia mengeluarkan sesuatu dari tas tangannya.

“Terima kasih. Terima kasih kerana temukan gambar ni dengan kau. Sekarang aku tak perlu lagi gambar ni. Aku pulangkan kepada kau kembali. Terima kasih sekali lagi, dan minta maaf sebab aku simpan tanpa pengetahuan kau.’

Dalam esak tangis, gadis itu berbicara. Sekeping gambar bersama deretan wajah-wajah ceria dihulurkan kepada Aisya Ameena. Kemudian dia terus melangkah pergi.

Qishrina meredah kepekatan malam ditemani hujan air mata di wajah. Beg pakaian yang dijinjing langsung tidak terasa beratnya. Dia melangkah  tanpa tujuan. Dia hanya mengikut ke mana kakinya pergi. Lama-kelamaan, dia tidak mampu lagi menampung dirinya sendiri. Dia tersungkur di jalan raya bersuluhkan lampu neon yang menyuluh samar. Tangisan semakin menggila! Raungannya tidak kedengaran lagi.

Tiba-tiba, dari arah belakang, sebuah kereta merapatinya lalu berhenti. Si pemandu keluar dan menerpa ke arah Qishrina!


*****


Sementara itu di sebuah rumah bertempat di Taman Sakura, Jalan Tuan Hamidi seorang gadis sedang merenung sekeping gambar ditangannya. Air mata yang berbekas di pipi diseka perlahan. Sudah berapa tahun gambar itu berada dalam simpanannya, dan inilah kali kedua dia memegangnya. Kali pertama dahulu adalah ketika Jaja memberinya setelah di minta.

Hello Jaja!”

Jaja, rakan lama sekolah menengahnya dihubungi.

Hello Isya.kenapa ni?” Jaja yang menjawab panggilan itu bertanya.

“Kau kena tolong aku kali ni,” pinta Aisya Ameena.

“Tolong apa? Isya, kau ni kenapa? Kelam-kabut sangat ni. Kau boleh rileks sikit tak?”

Pinta Jaja, yang turun hairan dengan sikap sahabat lamanya ini.

Mereka berdua baru sahaja bertemu beberapa jam sebelum ini di rumah banglo Datuk Fadhil. Mungkin ada sesuatu yang ingin ditanya oleh Aisya Ameena. Jaja membuat andaian dalam hati.

“Gambar ni…” ucap Aisya Ameena.

“Gambar apa?” tanya Jaja lagi.

“Gambar kenangan dalam kelas masa kita form 4. Kau ada kasi aku sekeping kan, tapi ada antara muka-muka ni aku tak kenal. Boleh kau kenalkan kat aku sorang demi sorang?” Aisya Ameena berkata panjang lebar.

“Oh, gambar tu. Tapi ramai la Isya…” Keluh Jaja bila terbayangkan deretan wajah di dalam gambar yang diberikan kepada Aisya Ameena beberapa tahun yang lepas.

No..no. I meant budak lelaki sahaja. Waktu ni aku dah pindah sekolah, dan ada beberapa orang aku tak kenal. Mungkin budak baru atau budak kelas lain yang pindah masuk dalam kelas ni. Tolong Jaja…”

Jaja meminta masa untuk dia mendapatkan gambar tersebut yang turut disimpannya. Sebaik sahaja gambar itu berada ditangan Jaja, dia memberitahu nama setiap seorang pelajar lelaki yang berdiri di barisan paling belakang berpandukan gambar itu.

“Firas Azril??”

Tiba di sepotong nama, Aisya Ameena serta-merta memotong bicara Jaja. Dia seperti pernah dengar nama itu? tapi dia tidak pasti. Dia bertanya Jaja kembali.

“Firas Azril ni memang budak sekolah ni ek?”

“Yup.”

“Bukan dari sekolah luar yang pindah masuk?” soal Aisya Ameena lagi. Dia seperti tidak yakin dengan jawapan yang di berikan oleh Jaja.

“Budak sekolah kita la. Dari form 1 lagi. Kau tak kenal ke?”

Jaja menyoal Aisya Ameena kembali. Jaja kembali teringat, zaman sekolah dahulu Aisya Ameena jarang mengambil tahu hal-hal pelajar lain terutama budak lelaki. Mungkin sebab itu dia tidak kenal dengan Firas Azril.

“Tak. Kenapa aku boleh tak kenal dia selama ni?”

Akhirnya Aisya Ameena sudah temui jawapan sebenar mengapa Qishrina dingin dengannya sehinggakan membawa kepada sesi pertengkaran sebentar tadi.

“Laaa… yang berbual dengan kita tadi tu, Firas Azril la. Boyfriend si Aula tu. Anak buah Datuk Fadhil, sepupu Megat.”

Jaja mengingatkan Aisya Ameena kembali tentang teman-teman berbual mereka di bangle Datuk Fadhil dengan wajah-wajah di dalam gambar itu. Serta-merta Aisya Ameena terbayang wajah seorang jejaka yang bertubuh agak tegap yang diperkenalkan oleh Megat kepadanya.

‘Masyaallah! Macam mana aku boleh tak person benda ni…’

Aisya Ameena mengeluh hampa. Qishrina sudah salah faham terhadapnya. Sebenarnya, dia sendiri tidak mengenali Firas Azril. Dia mengenali Firas Azril hanya pada nama sahaja, padahal jasadnya langsung Aisya Ameena tidak kenal.

Ini kerana Aisya Ameena bukanlah seorang yang suka bercampur gaul dengan pelajar lelaki ketika zaman sekolah menengahnya. Tidak kiralah rakan pelajar yang sekelas dengannya atau pun yang berlainan kelas.

Dan tentang kewujudan wajah Firas Azril didalam gambar itu, Aisya Ameena memang tidak tahu apa-apa. Dia tidak tahu bahawa Firas Azril hampir menjadi rakan sekelasnya ketika tingkatan 4, dan tindakan Aisya Ameena berpindah sekolah menyebabkan mereka tidak sempat bertemu muka dan berkenalan. Hanya Megat yang dia kenal kerana sedari umur 13 tahun lagi mereka sekelas.

Thanks Jaja. Sorry ganggu kau time-time ni,” Aisya Ameena mengucap kata terima kasih kepada Jaja, langsung meminta diri.

Dia tersandar lesu di kaki sofa. Kenapa aku tak perasan? Kenapa aku tak peka pasal gambar ni? Rungutnya.

Apa pun yang terjadi, dia harus mencari Qishrina semula dan menerangkan perkara sebenar. Dia akan cuba bercakap satu persatu apa yang sudah berlaku. Dan dia juga akan katakan bahawa ini semua salah faham. Perlahan-lahan, air matanya meleleh dipipi…


*****

Qishrina masih berdiam. Kereta yang dinaikinya membelah kepekatan malam. Jalan raya yang mulai lengang dengan kenderaan dipandang kosong. Tiba di persimpangan lampu isyarat, kereta itu berhenti dan kembali bergerak apabila lampu bertukar hijau. Si pemandu di sebelahnya memandu dengan tenang sekali.

“Akak nak berhenti mana-mana tak?” tanyanya.

Qishrina hanya menggeleng. Lama membisu, si pemandu bertanya lagi.

“Akak tak nak makan?”

Qishrina memberi jawapan yang sama. Dia yang pada mulanya memeluk tubuh, merungkai dan meluruskan tangannya ke bawah.

“Akak nak air?” si pemandu langsung tidak jemu bertanya. Ketika itu keretanya sudah membelok dan berhenti di sebuah stesen minyak.

“Akak tak nak apa-apa…” Qishrina bersuar juga, halus dan perlahan.

Qishrina ditiggalkan sendirian di dalam kereta. Si pemandu keluar dan menuju ke kaunter bayaran bahagian dalam. Beberapa minit berlalu dia kembali bersama sebungkus beg plastik yang dipenuhi barang makanan di dalamnya.

“Minum. Akak perlukan tenaga. Minum air dulu. Sampai kondo, kita makan sama-sama.”

Huluran botol air mineral bersuhu sejuk disambut malas. Qishrina meneguk. Pada mulanya tegukkannya sedikit. Lama-kelamaan tegukkannya bertambah. Tampak dahaga sekali! Hampir separuh air dalam botol tersebut luak! Dia manarik nafas lega. Qishrina sendiri tidak sedar bahawa dia begitu dahaga ketika itu. Wajah disebelahnya dipandang lalu melemparkan seyuman, tanda terima kasih.

Kereta tersebut kembali menjalar di atas jalan raya. Hampir 20 minit, mereka kini tiba di sebuah kawasan perumahan elit yang terletak di pinggir bandar raya. Kelihatan agak mewah. Siap dengan pengawal keselamatan lagi.

“Jom. Kita dah sampai.”

Ajak si pemandu. Dia turun lalu mengambil beg pakaian Qishrina di tempat duduk bahagian belakang. Dia kemudian berjalan menuju ke arah lif untuk ke tingkat atas. Qishrina menyorotinya dari belakang.

“Laila….”

Hampir 45 minit diam. Akhinya Qishrina menyebut nama Laila. Waktu itu mereka sudah berda di dalam perut lif. Laila menekan punat yang tertera nombor 9. Mungkin itu tingkat rumahnya.

“Terima kasih, sebab sudi tumpangkan akak.”

It’s ok akak. Laila pun stay sorang kat sini.”

Jawabnya jujur bersama senyuman di bibir. Dia tidak sedar bahawa Laila tahu ada yang tidak kena dengan dirinya sewaktu mereka sama-sama dalam perjalanan pulang dari majlis Datuk Fadhil. Gusar dengan keadaan Qishrina, Laila secara senyap-senyap mengundur keretanya sewaktu menghantar Qisrina pulang. Dia menunggu di bawah sepohon pokok yang agak terlindung dari pandangan orang.

Sedang dia menanti di dalam kereta dia ternampak Qishrina keluar dari pintu pagar rumahnya bersama-sama sebuah beg pakaian dalam keadaan tergesa-gesa. Hatinya mulai tidak sedap dan mengekorinya dengan kereta dalam jarak yang agak jauh. Lampu keretanya dipadamkan agar tidak dikesan oleh Qishrina.

Namun dia tiba-tiba menjadi panik apabila melihat Qishrina sudah tersungkur dia jalan. Cepat-cepat dia merapati Qishrina nak membawanya masuk ke dalam kereta miliknya.

“Masuklah,” jemput Laila usai pintu dikuak.

Qishrina terpaku buat seketika! Sangat cantik. Pertama kali dia menjejakkan kaki ke dalam rumah seumpama ini. Namun kadar terujanya kendur apabila memikirkan sampai bila dia harus menumpang di sini? Mampukah dia membayarnya? Lihat dari semua sudut rumah ini, rasanya wang gajinya tidak mampu menanggung bayaran sewa sehingga setahun. Apatah lagi ditolak dengan duit kiriman untuk keluarga di kampung.

“Ni bilik akak. Akak boleh mandi, solat dan rehat dulu. Laila pun nak mandi dan solat, lepas tu Laila nak masak untuk akak.”

Kata Laila sambil meletak beg pakaian Qishrina di sudut katil bersaiz king itu.

“Eh Laila. Tak payah la nak masak. Akak tak lapar,” Qishrina menolak. Perasaan segan mula menapak dalam hati.

“Akak jangan la macam ni. Laila tahu akak tak makan apa pun. Kat rumah Datuk Fadhil pun akak tak makan kan? Dah, akak masuk dulu.”

Qishrina begitu terharu dengan layanan yang diberikan oleh Laila kepadanya. Perlahan dia melangkah masuk dan duduk dibirai katil. Dia berteleku sebentar. Memorinya mengimbau satu demi satu peristiwa yang merobohkan tembok air matanya malam itu. Ternyata, nalurinya terhadap Firas Azril tepat sekali.

Dia lelaki itu! Semuanya terbongkar di situ juga. Megat, salah seorang sahabat baik Firas Azril semasa zaman sekolah dulu adalah buktinya. Lebih menguatkan lagi telahan Qishrina adalah, sapaan Megat kepadanya semasa di atas buaian!

Rasa geramnya mula menular. Sakit hati menekan jiwa! Tubuhnya menggeletar menahan rasa yang bercampur baur. Tanpa menunggu lama, dia berlari masuk ke dalam bilik air di sudut bilik. Pancutan air dipasang kuat. Tangisannya bergema kuat seiring bunyi curahan air itu. Air matanya meluncur laju di pipi.

Qishrina melepaskan esakan sepuas-puasnya. Siraman air menghapus air matanya yang tidak henti-henti berjuraian…

Hari ini merupakan hari minggu. Qishrina sedang berehat di biliknya. Usai solat subuh, dia terus berkurung di bilik. Dia tiada mood untuk keluar. Sedang dia mengelamun, pintu biliknya ditolak dari luar.

“Akak?” wajah Laila terjengul. Dia seperti baru lepas mandi. Gulungan tuala dikepalanya buktinya.

“Laila..” kataku, lalu bangun dan bersandar di kepala katil.

“Jom, sarapan. Laila dan goreng nasi tu. Kita makan sama-sama.”
 Ajak gadis itu. dia merapati birai katil lalu duduk di hujung kaki Qishrina. Wajah itu dipandang.

“Akak tak ada selera la Laila. Laila makanlah dulu ek..”

Qishrina menolak ajakan Laila. Dia betul-betul tidak lalu makan ketika itu. mungkin perutnya masih penuh. Penuh dengan masalah yang dikumpul semalam!

“Akak tak boleh macam ni. Semalam akak jamah sikit sangat nasi tu. Nanti perut kosong, akak boleh jatuh sakit tau. Jomlah. Akak makan sikit pun jadilah, buat alas perut.”

Laila memujuk lagi. Laila dapat lihat kesan sembab di bawah mata Qishrina. Dia tahu, pasti Qishrina menangis sehingga semalaman. Sehingga kini dia langsung tidak bertanya apa masalah yang Qishrina hadapi.

Tidak mahu membiarkan Laila susah hati, Qishrina mengalah. Dia mengengsot turun dari katil dan berjalan beriringan dengan Laila ke dapur. Laila tersenyum lebar melihat respon Qishrina.

Sedang mereka bersarapan bersama, telefon rumah berbunyi. Laila berlari mendapatkannya.

“Ye Mr. Ang?” dia diam lama.

“Oh, ok. Saya kenal. Tak apa. Benarkan dia naik. Terima kasih Mr. Ang!”

Laila meletak ganggang telefon. Dia kemudian bergegas ke bilik. Dari gaya perbualannya, Qishrina rasa seperti ada tetamu yang akan bertandang. Qishrina lantas bergerak ke bilik dan kembali semula ke meja makan dengan tudung di kepala. Laila masih lagi belum kelihatan. Mungkin sedang bersiap di bilik. Maklumlah, sebelum ini dia hanya berbaju paras betis dan kepala berbalut tuala.

Ting! Tong!

Loceng rumahnya berbunyi. Qishrina ragu-ragu untuk membukanya.

“Kak Rina! Tolong bukakan pintu tu. Jemput dia masuk sekali. Kejap lagi Laila keluar!”

Laila menjerit dari dalam bilik. Mendengar arahan dari Laila, Qishrina bangun dan membuka pintu yang terkunci itu.

Bagaikan dihempap batu besar! Qishrina berdiri kaku di situ. Pertembungan antara dua pasang mata berlaku di situ. Masing-masing tidak mampu berkata-kata….

Tiada ulasan:

Catat Ulasan