BAB 4
" Tak guna!" jerit
Encik Zulkarnain. Lantang! Stereng keretanya ditumbuk kuat.
Titisan peluh mula merenek di dahi. Wajahnya pula mulai merah.
Tangan kanannya yang memegang kepala nampak bergetar. Geram hatinya
apabila memikirkan kejadian di rumah adiknya. Bibir hitamnya diketap
kuat.
"Abang, sabar bang!"
Puan Normah yang begitu terkejut dengan kelakuan suaminya bersuara.
Dia cuba menenangkan lelaki itu. Kelajuan kereta yang semakin lama
semakin laju menambahkan lagi rasa gerunnya. Dia sedar suaminya berada
dalam emosi yang tidak stabil ketika ini. Pedal minyak di kakinya semakin
kuat ditekan. Tiada langsung tanda-tanda untuk memperlahankan kelajuan.
"Berani Zalikha mengatakan abang tiada
hak ke atas harta itu!" katanya lagi. Kali ini kelajuan kereta
semakin kurang.
"Betul tu. Nor tidak sangka dia
boleh berkata begitu," kata-kata lelaki itu disokong oleh isterinya.
Wanita itu lega, apabila melihat Encik Zulkarnain mula bertenang
walaupun kemarahannya masih lagi bersisa. Wajah tua suaminya di pandang sekilas
samblil tersenyum sinis.
Lagak Puan Normah tampak lain. Dalam
diam-diam, dia sebenar mempunyai agenda untuk disuarakan kepada suaminya.
*****
Di Kampung Alur Mutiara, seorang gadis
kurus tinggi sedang termenung di bawah rimbunan pokok rambutan yang sedang
galak berbuah. Hari itu hari sabtu. Sabtu pertama setelah beberapa
hari dia menjadi 'penduduk' di kampung itu.
"Termenungkan siapa tu?" satu
suara menyapa di telinganya. Darwisyah berpaling mencari arah suara itu.
'Mak tok'. Dia berbisik dalam hati. Senyuman hambar
dilemparkan.
Neneknya berjalan menghampiri cucunya.
Perlahan dan penuh berhati-hati. Darwisyah mengesot sedikit untuk
memberi ruang untuk neneknya melabuhkan punggung. Wajah tua itu ditatap
lembut.
"Rindukan ayah dan mama ya?"
nenek bertanya lagi. Kali ini wajah bujur sirih milik cucunya
dipandang.
"Mestilah Isya rindu,"
Darwisyah menjawab. Wajahnya ditundukkan memandang hujung jari
kakinya. Tiba-tiba sahaja jiwanya terasa begitu sedih.
Nenek Leha mengurut lembut belakang tubuh
cucunya. Dia faham perasaan Darwisyah. Apatah lagi sedari kecil
gadis itu langsung tidak pernah berenggang dengan kedua orang tuanya.
Melihat kesedihan cucunya, dia turut dirundung perasaan yang sama.
"Tak apa. Mak tok ada,"
hanya itu yang mampu dibalas.
"Mak tok…" Darwisyah yang
tampak sugul pada mulanya kini bersuara. Sedikit bersemangat nadanya.
"Boleh Isya tanya sesuatu?"
sambungnya kembali. Daun kering ditangannya diracik-racik halus.
Hilang bentuknya.
"Darwisyah ingin tanya tentang
apa?" pertanyaan Darwisyah dibalas dengan pertanyaan kembali oleh
neneknya sambil mata tuanya memandang sekilas ke arah kain jemuran di ampain
yang berkibar-kibar dihembus semilir kampung yang nyaman.
"Ayah dan mama ada sembunyikan sesuatu
daripada Isya kah?" lancar sahaja ayat yang keluar dari bibirnya.
Tersentap nenek Leha! Dalam diam,
rupanya Darwisyah mengetahui apa yang sedang bergolak ketika ini.
Tidak tahu bagaimana ingin menjawab soalan cucunya itu. Seharusnya
cucunya tidak terlibat sama, tetapi oleh kerana dia adalah 'Darwisyah' perkara
ini tidak mampu dielak.
"Betulkah mak tok?" dia bertanya
lagi.
"Kenapa Isya kata begitu?"
nenek Leha cuba berbual lagi.
"Bertahun Isya tinggal dengan ayah,
dengan mama di bandar sana. Sejak kecil lagi. Berenggang
walaupun 1 hari pun tidak pernah," Darwisyah diam beberapa saat.
Nafas diambil dan menyambung kembali ayatnya, "Tiba-tiba
sahaja, ayah dan mama buat Isya begini. Hantar Isya ke kampung dan
tinggal dengan nenek. Bila Isya tanya kenapa, ayah dan mama diam.
Ayah dan mama macam tak sayangkan Isya lagi."
Nenek Leha mendengar luahan cucunya penuh
kasihan. Lagak cucunya seperti tidak selesa dengan semua ini,
apatah lagi gembira.
"Isya dengar cakap mak tok. Allah
kurniakan zuriat kepada setiap pasangan suami isteri untuk di sayangi.
Setiap daripada zuriat yang dilahirkan adalah pembuka pintu rezeki kepada
keluarga tersebut. Isya adalah zuriat ayah dan mama. Isya adalah
pembuka pintu rezeki mereka selama ini. Untuk pengetahuan Isya juga,
mama sanggup berhenti kerja semata-mata untuk menjaga, mendidik
Isya. Mama tidak sanggup biarkan Isya membesar di telapak tangan orang
lain, bahkan ditangan mak tok sekali pun."
Nenek Leha diam. Suasana petang menjadi
sunyi. Suara unggas sesekali kedengaran. Jeritan anak-anak kecil
yang riang bermain bersama rakan-rakan lain menerjah pendengaran.
Sanubari Darwisyah beralun sayu mendengar bicara neneknya.
"Isya nampak. Betapa sayangnya mama
terhadap Isya. Ayah pula sanggup berkerja siang malam untuk mengukuhkan
kehidupan ketika itu kerana mama dah berhenti kerja, sehingga berdirinya
syarikat Puncak Holding miliki ayah. Itu semua untuk Isya."
Bicara nenek sudah terhenti. Darwisyah
mendongak mencari anak mata nenek Leha. Bebola mata Darwisyah seperti
meminta kepastian tentang semua itu. Nenek Leha yang mengerti,
mengangguk. Rasa kesal di hatinya tiba-tiba bertandang.
Deringan telefon di dalam rumah menyedarkan
Darwisyah dan nenek Leha. Nenek Leha pantas menyarung selipar lusuh yang
di tanggalkan dan berjalan ke muka pintu. Tubuh nenek Leha hilang dari
pandangan dan deringan telefon yang nyaring sebentar tadi turut mati.
Darwisyah temenung sebentar. Kata-kata
neneknya berlegar di fikiran. 'Ya Allah! Jauhnya aku berfikir,'
bisiknya.
Balam-balam senja mulai kelihatan. Darwisyah
mengutip kain jemuran di ampaian lalu berjalan masuk ke dalam rumah.
*****
"Apa lagi yang dikatanya?"
Saat Darwisyah ingin ke biliknya, suara
perbualan nenek dengan seseorang menyapa gegendang telinganya. 'Dengan
siapa nenek berbual?' gerutunya di dalam hati.
Seperti ada magnet yang menariknya untuk terus
mendengar. Telinga kirinya dilekapkan ke dinding kayu, yang
memisahkan tempat di mana neneknya yang sedang berbual dan tempat dia berdiri.
"Kamu yakin dia nekad inginkan dapatkan
juga?" soal nenek lagi.
'Dapatkan apa?' Darwisyah bertanya sendiri.
Sayangnya perbualan pihak di sebelah sana tidak dapat di dengar oleh
Darwisyah. Dia juga tidak tahu siapa yang sedang menyahut pertanyaan
nenek ketika ini.
"Apa pula kata Zalikha?" suara
nenek kedengaran lagi.
‘Zalikha? Itukan mama!’ getus
Darwisyah. ‘Pasti mak tok sedang bercakap dengan ayah. Tetapi apa
yang mereka bincangkan? Siapa pula 'dia' yang di katakan oleh nenek?’
Krek!
Bunyi lantai kayu yang dipijak seseorang menyentap
tumpuan Darwisyah. ‘Usu Roslan!’ Dia berkata sendiri.
Darwisyah tahu Usu Roslan sudah pulang dari ladang. Bimbang dirinya
disindir, dia cepat-cepat beredar menuju ke biliknya.
Pintu bilik ditutup cermat. Dia mencapai
tuala lalu melilitnya di leher. Darwisyah yang pada mulanya ingin
membersihkan diri kini sudah duduk di birai katil bujangnya. Dia marah
akan bapa saudaranya kerana menganggu tumpuan dia untuk mnedengar perbualan
diantara nenek dan ayahnya.
"Siapa
tu mak?'
Telinga Darwisyah di sapa oleh suara Usu Roslan.
Nenek Leha yang baru meletak gagang telefon mengurut dada. Terperanjat
dengan suara anaknya.
"Kamu ni Roslan. Cuba bagi salam
dahulu!" marah nenek. Usu Roslan hanya menyeringai.
"Abang kamu," pendek jawapan yang
diberikan.
Sebaik sahaja mendengar nama abangnya, Usu
Roslan mengeluh. Wajah ibunya dipandang lalu bertanya, "apa
pula masalah kali ni?"
Usu Roslan bertanya lagi. Darwisyah
yang tekun memasang telinga di dalam bilik langsung tidak bergerak walaupun
seinci. Dia benar-benar ingin tahu isi bicara nenek dan ayahnya.
Beberapa saat menunggu, suasana menjadi sunyi. Tiada bunyi suara
Usu Roslan dan neneknya. ‘Mengapa diam?’ dia menyoal sendiri.
"Beri sahaja barang tu kepada mereka
mak." suara Usu Roslan memecah kesunyian. Darwisyah tersentak.
Nada suara bapa saudaranya juga berubah. Seperti marah.
"Tidak boleh. Itu bukan milik
mereka."
Nenek Leha pula bersuara. ‘Apa yang
sedang berlaku ni? Barang apa yang dimaksudkan oleh Usu?’ Darwisyah
berteka-teki.
"Mak,
selagi mereka tidak dapat barang yang mereka inginkan itu, selagi itu
mereka akan menganggu keluarga kita. Lan sudah beritahu sejak dahulu
lagi. Jangan ambil! Lihat. Inilah yang terjadi. Tidak
mungkin Abang Man tidak fikir baik buruk yang akan terjadi pada hari yang
mendatang." Keras suaranya.
"Kamu
perlu faham hukumnya Lan. Bukankah mak sudah beritahu perkara sebenar
sebelum ini."
Diam. Tiada balasan daripada Usu Roslan.
"Sudah. Waktu hampir senja. Bersihkan diri.
Kita berjemaah sekali."
Nenek memberi arahan. Tidak lama kemudian,
kedengaran pintu bilik Usu ditutup. Darwisyah yang masih
tertanya-tanya apa yang cuba di katakan oleh nenek dan bapa saudaranya
terperanjat apabila nenek melaung namanya untuk segera mandi.
Terkocoh-kocoh dia keluar.
Sepanjang malam, hatinya meronta-ronta ingin tahu apa
sebenarnya rahsia yang cuba disorok oleh kedua ibu bapanya sehinggakan Usu Roslan
dan nenek berselisih faham.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan