KUTUBUKU CARNIVAL BOOKSTORE

Rabu, 30 Mei 2012

Program Ceramah Sains dan Jualan Buku di Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek


Puan Nurulsham Saidin sedang memberi ceramah bertajuk
Gelombang Cahaya Matahari dan Kesihatan Manusia
Yang berusaha, guru perpustakaan, Puan Ismayati Ismail sedang
memberi kata-kata aluan.
Tanggal 25 April 2012, bersamaan hari Rabu 3 Jamadil Akhir 1433 Hijrah, KUTUBUKU VENTURE telah mengadakan aktiviti jualan buku-buku dan novel berkualiti beserta ceramah Motivasi Sains di Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek, Simpang Ampat, Seberang Perai dengan jayanya. Pihak sekolah terutamanya tuan pengetua, Puan Rohani Hassan begitu berbesar hati dan mengalu-alukan kedatangan kami di sana. Program yang dijalankan sempena sambutan Hari Buku Sedunia ini telah diusahakan oleh guru perpustakaan, Puan Ismayati Ismail yang begitu prihatin dan mengambil berat.


Tujuan pihak KUTUBUKU VENTURE  mengadakan ceramah ini adalah bagi memberi kesedaran pada pelajar tentang peri pentingnya memahami Sains di dalam memahami kehidupan seharian. Sains amat penting bukan semata-mata sebagai subjek di sekolah, tetapi ia juga mempunyai begitu banyak aplikasi dalam kehidupan manusia. Dalam ceramah ini, Puan Nurulsham menekankan bahawa aplikasi Sains ini begitu meluas sehingga meliputi aspek ibadat seperti solat dan yoga.

Puan Nurulsham bersama pengetua sekolah, Puan Rohani
Hassan sedang mendengar ucapan aluan.
Pihak KUTUBUKU VENTURE begitu prihatin memandangkan dewasa ini, pelajar didedahkan dengan begitu banyak bahan bacaan, termasuk yang mempunyai impak negatif terhadap diri mereka. Membuat pilihan menjadi sukar, bukan kerana ketiadaan pilihan, tetapi kerana lambakan pelbagai bahan. Pelajar haruslah bijak memilih bahan bacaan, dan bukannya membuat pilihan melulu dan mengikut emosi semata-mata.

Seramai hampir dua ratus orang pelajar  sedang
mendengar ceramah sambil mencatat nota.
Program ceramah yang mengambil masa satu jam ini diakhiri dengan sesi jualan di ruang legar sekolah. Pelajar berpusu-pusu datang ke gerai jualan yang disediakan oleh skuad KUTUBUKU VENTURE  untuk memilih bahan bacaan bersesuaian.

Pihak KUTUBUKU VENTURE  mengucapkan jutaan terima kasih pada pihak sekolah dan pelajar-pelajar yang memberikan sambutan positif di atas kunjugan kami ini. Demi menghargai kerjasama yang baik ini pihak KUTUBUKU VENTURE telah memberikan sumbangan tiga buah novel karya Puan Nurulsham bertajuk Rumah Di Kaki Bukit (Scifi Remaja), Rahsia Hutan Belantara (Scifi Remaja) dan Hani kepada perpustakaan sekolah.

Gambarajah gelombang merupakan salah satu contoh yang
diperkatakan dalam ceramah ini.
Selamat Maju Jaya buat Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek.

Sekian.

KUTUBUKU VENTURE 


Nota- Pihak KUTUBUKU VENTURE amat berbesar hati untuk memenuhi undangan ceramah dan jualan di sekolah-sekolah atau mana-mana pertubuhan bagi memeriahkan program anjuran anda. Ceramah kami adalah percuma. Emelkan pada kutubuku2u@gmail.com .