BAB 2
Embun pagi mula menitik
halus. Dedaun hijau
mengeluarkan aroma nyaman. Seawal subuh lagi, Kampung Alur Mutiara
sudah basah disiram titisan hujan lebat. Terasa dingin seisi alam.
Menghampiri pukul 7 pagi, ufuk mentari mula menampakkan cahaya.
Bayang-bayang penghuni alam terbentuk di sana sini. Sang unggas terbang
mencari sesuap nasi seperti mana seorang yang bergelar manusia.
"Mak tok..." Darwisyah bersuara seperti merengek. Hujung
tudung sekolahnya dipintal-pintal dengan jari runcingnya.
Hari ini merupakan hari pertama Darwisyah bersekolah di sekolah baru.
Pakaian seragam sekolah sudah tersarung kemas di tubuhnya. Lengkap
bertudung. Demi mengambil hati dan memujuk Darwisyah, Encik Lokman
dan Puan Zalikha sanggup berbelanja lebih membeli pakaian seragam baru
untuknya. Dari hujung kepala hinggalah hujung kaki, dengan harapan
Darwisyah akan menurut arahan dan tidak memberontak. Namun semua itu
tidak menjadi.
"Kenapa cu..." tanya neneknya kembali penuh kasih sayang.
"Jangan pintal tudung tu. Nanti habis berkedut. Tak cantik
pula cucu mak tok nanti."
Wanita separuh usia itu yang mesra disapa nenek Leha di kalangan orang
kampung menegur cucunya. Kepalanya yang ditutup dengan anak tudung putih
di betulkan. Tubuh kurus keringnya disandar ke meja makan sambil
tangannya ligat mencedok nasi goreng untuk sarapan mereka. Baju kurung
lama yang dipakai sedikit basah di bahagian hadapan. Mungkin disebabkan
percikan air ketika melakukan rutin membasuh di sinki pagi tadi.
"Isya tidak mahu bersekolah di sini," ujar Darwisyah. Dia
yang bersandar di kerusi meja makan memandang ke bawah.
"Kalau tidak mahu bersekolah di sini, kenapa datang?"
Zup! Terasa seperti ingin pengsan ketika itu. Suara balasan yang
sememangnya tidak di jangka bergema. Bulat matanya mencari arah sergahan
itu.
'Usu Roslan!' getusnya di dalam hati. Dia menelan air liurnya. Terasa
perit sekali. Darwisyah bersandar tegak di kerusi. Dia kelihatn
takut. Lagak tikus yang takut akan kucing. Bapa saudaranya
mengambil tempat berhadapan dengan Darwisyah ketika di meja makan.
"Roslan!"
Nenek Leha menegur anak bongsunya. Suaranya sedikit keras walaupun
bernada perlahan. Nenek Leha sudah faham akan sikap anaknya itu.
'Entah bila lelaki ini akan berubah.' Hati tua itu sempat berbisik halus.
"Kalau hati tu sudah tawar untuk belajar di sini, tidak perlu
datang," ungkap lelaki itu lagi sambil memandang wajah anak
saudaranya, Darwisyah.
Usu
Roslan. Adik bongsu Encik Lokman. Lelaki ini belum mendirikan rumah
tangga. Dia kini tinggal bersama nenek Darwsiyah. Usu Roslan
bergelar usahawan. Dia giat mengusahakan ternakan lembu sejak 3 tahun
lalu. Sehingga kini, Darwisyah belum berpeluang melawat ladang
ternakan bapa saudaranya itu.
"Isya pergi dahulu nenek. Assalamualaikum," Darwsiyah
tidak menunggu lama. Hunjanam Usu Roslan yang menyala begitu menakutkan.
Terasa inigin menyorok di belakang neneknya. Tangan tua itu dikucup
lembut sebelum melangkah ke arah bapa saudaranya pula. Darwisyah
menghulur tangan untuk bersalaman. Di dalam hatinya, pelbagai
perasaan mula berkecamuk. Risau, malu, gentar. Risau
jika Usu Roslan semakin membencinya lagi. Dia juga malu jika huluran
salamnya tidak disambut oleh Usu Roslan dan gentar jika lelaki itu akan terus
melepaskan amarahnya yang masih bersisa.
Alhamdulillah! Itu kata hatinya apabila Usu Roslan sudi menerima huluran
tangannya.
"Kenapa kata begitu? Tidak elok Lan," tanya wanita tua
itu kepada anak bongsunya. Raut wajahnya tampak kecewa. Tangannya
yang sedari tadi ligat membuat kerja kini sudah mengendur.
"Mengapa mak baik sangat dengan budak itu?" tanyanya kembali.
Pertanyaan ibunya di biarkan berlalu di bawa angin pagi.
" Dia cucu mak Lan. Satu-satunya cucu mak. Darah daging
kamu juga. Sudahlah Lan. Buang perasaan keras kamu. Usah
seksa minda dia. Anak saudara kamu tidak mengerti apa-apa lagi,"
Usu Roslan hanya diam apabila ibunya berkata begitu. Mata kuyunya
dikerdip beberapa kali. Entah mengapa, relung hatinya begitu sukar
untuk melupakan perkara itu. Dia sedar, anak saudaranya itu memang
langsung tidak bersalah. Tidak sepatutnya dia bersikap sebegitu tehadap
gadis itu. Namun, kerana marahkan abangnya, Usu Roslan
melempiaskan amarah kepada Darwisyah. Tubuhnya yang agak tegap dan
berotot ditegakkan.
"Sarapan dahulu. Sekejap lagi kamu hendak ke ladang. Mak
tidak ke sana mulai hari ini. Kamu pulanglah makan tengahari nanti.
Anak saudara kamu sekarang tinggal dengan kita. Makan minum dia
sekarang di bawah tangunggjawab mak."
Terang nenek Leha. Pinggan nasi yang tidak sempat disentuh oleh Darwisyah
di capai perlahan. Bagaikan mahu menitis mutiara jernihnya.
Darwisyah tidak sempat bersarapan kerana takut akan bapa saudaranya.
Nasi goreng didalam pinggan itu diisi masuk semula ke dalam mangkuk besar.
'Kasihan cucu mak tok.'
Titisan air matanya tiba-tiba mengalir perlahan. Tidak mampu di
bendung. Usu Roslan yang asyik menjamu selera mendongak melihat wajah
ibunya. Seleranya serta merta lenyap. Perasaan bersalah menyelinap
di sanubarinya.
*****
Sementara itu, Darwisyah yang begitu tersentuh dengan bicara bapa
saudaranya berjalan perlahan menyusur jalan kampung menuju ke sekolah barunya.
Linangan air mata menemaninya sepanjang perjalanan ke sekolah. Puas
diseka, tetap juga mengalir. Laju. Umpama tidak mahu
berhenti. Dia merasakan dirinya keseorangan di dunia ini.
Rasa lemah kakinya. Tenaganya seperti tertinggal di rumah ibu
bapanya. Hanya badannya ke sini. 'Menagapa Usu benci sekali dengan
diri aku? Apa yang telah aku lakukan terhadapanya?' bicaranya dalam
hati. Jiwanya begitu sakit. Jika permulaannya sudah pedih seperti
ini, mungkin hari-hari mendatang jiwa ini akan haus. Hauskan
simpati.
"Assalamualaikum!"
Sedang Darwisyah melangkah bersama rembesan air mata, terdengar
seseorang memberi salam dari arah belakang. Dia berpaling ke belakang.
Seorang jejaka seperti sebaya dengannya. Dia tidak mengenalinya
Lelaki yang lengkap berpakaian seragam sekolah itu berjalan laju.
Cuma menghampiri Darwisyah yang sudah ke hadapan. Gadis berusia 15
tahun ini seperti tidak berminat untuk menantinya.
"Kau Darwisyah bukan?" jejaka itu cuba meneka.
Sebaik sahaja lelaki yang tidak di kenali itu bertanya, Darwisyah
berhenti melangkah. 'Dia mengenaliku?' detik hatinya. Tubuh
kurusnya di pusing sedikit mengadap orang yang bertanya.
Tinggi! Itu anggapan pertamanya saat dia bersemuka dengan lelaki
itu. Ketika melihatnya dari jauh, Darwisyah tidak menyedari fizikalnya.
Enggan khayal lebih jauh, Darwisyah mula bersuara.
"Dari mana kau tahu nama kau?"
"Aku Aniq. Danish Aniq," dia memperkenalkan diri
walaupun tidak diminta.
Usai sahaja jejaka yang bernama Danish Aniq itu bersuara, Darwisyah
mula melangkah. Sisa air mata di pipi merahnya disapu kasar. Rasa
laranya mulai hilang. Malu jika bekas-bekas mutiara itu dikesan oleh
Danish Aniq.
"Mengapa kau menangis?" Rupa-rupanya Danish Aniq sudah
ternampak. Wajah bujur sirih Darwisyah di lihat dari ekor mata.
"Siapa kau? Aku tidak kenal kau. Tidak perlu rasanya
untuk aku beritahu," bidas Darwisyah sambil berjalan.
"Oh! Aku terlupa. Aku saudara kau juga. Ayah kau
dan ibu aku sepupu." Akhirnya pertanyaan Darwisyah terjawab.
"Saudara?" nada suara Darwisyah kedengaran terkejut.
"Mengapa selama ini aku tidak pernah kenal kau?" soalnya
lagi.
"Ya. Kita saudara. Aku tidak tinggal di sini sebelum
ini. Hanya 2 tahun yang lalu, aku dan keluarga berpindah ke kampung
ini. Sebab itu kau tidak kenal aku"
Jejaka itu kelihatan selesa berbual dengan Darwisyah. Tutur katanya
juga penuh adab dan tidak berlebihan. Danish Aniq yang tua 2 tahun
daripada Darwisyah mengukir senyuman apabila Darwisyah mulai berminat untuk
berbicara dengannya.
"Jadi sekarang kau sudah kenal aku bukan? Boleh aku tahu menagapa
air mata kau mengalir?" risiknya lagi.
Dia sabar
menanti jawapan dari bibir kecil Darwisyah. Menanti dan terus menanti.
Sehinggalah mereka tiba di pintu pagar sekolah, Darwisyah masih
bungkam. Pelajar-pelajar semakin ramai. Ada yang baru tiba
sepertinya, ada yang sedang berbual besama sahabat, ada yang sedang
makan dan tidak terkecuali ada segelintir daripada mereka khusyuk mengulang
kaji pelajaran. Bagus sekali! Mereka tidak membuang masa sementara
menunggu waktu pembelajaran bermula.
Menyedari
dirinya berada di tempat baru, Darwisyah cemas. 'Kemana harus aku
pergi? Aku pelajar baru.' getus hatinya. Dia mula mematahkan
jari-jarinya. Berlekup-lekap bunyinya. Itulah tabiat Darwisyah jika
dia berada dalam keadaan cemas dan takut.
"Mari ikut
aku," Sedikit terkejut Darwisyah. Dia sangkakan Danish Aniq
sudah berlalu meninggalkannya. Rupa-rupanya dia masih di sini.
"Ke
mana?"
"Pejabat
sekolah," jawabnya pendek.
"Untuk
apa?" Soal Darwisyah lagi bersama kerutan di dahi. Dia masih
berdiri di tempat yang sama, sedangkan Danish Aniq sudah jauh ke hadapan.
"Nenek
Leha minta aku temukan kau dengan guru kelas kau. Cepatlah!"
Danish Aniq
yang sudah menghampiri ruang lobi memusingkan badannya. Sambil berjalan,
dia menjawab. Jejaka tinggi ini meninggikan sedikit suaranya untuk
melawan suara-suara kecoh para pelajar yang lain. Ditambah pula sekolah
tersebut berhampiran dengan jalan raya utama yang semestinya mengundang
pelbagai bunyi hiru-pikuk kenderaan.
Tidak mahu
membazirkan masa, Darwisyah berlari anak mengikut jejak saudaranya yang
sudah hilang di balik dinding lobi. Mujurlah dia dapat menangkap kelibat
Danish Aniq yang ketika itu sudah membelok ke kanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan