
Bab 2 Umar
Jari jemari halus Siti Zulaikha mencecah air jernih di
takungan. Dingin air yang berembun
sepanjang malam menyerap ke kulitnya yang terdedah. Gadis itu tersenyum
sendirian, sehingga berlekuk pipinya yang berlesung pipit.
Semilir pagi tidak pernah jemu mendamaikan daerah itu.
Embun yang hinggap dari lewat malam, kini menitis antara dedaunan. Butir-butir
halus itu bagaikan permata berkilau tatkala
mencapah cahaya mentari.
Damainya pagi itu. Sedamai hati si gadis Zulaikha yang muda
dan ghairah dengan kehidupan. Bagi si
gadis, hidup ini terlalu indah untuk disiakan. Berada di daerah yang sunyi
berteman pepohonan hijau itu amat mengujakan. Terlalu banyak yang boleh dilihat,
dinikmati dan difahami. Bumi luas ciptaan Allah ini adalah sekolah baginya.
Air di takungan dicecahnya, lalu diraup dengan dua belah
tangannya. Air jernih itu dipencar ke wajahnya. Alangkah segarnya tatkala titisan
jernih itu menyentuh kulit.
Subhanallah! Hatinya
mengucap penuh damai. Terasa betapa beruntungnya dirinya dapat merasai
keindahan itu.
Sesekali singgah di daerah ini mencipta kepuasan bagi
dirinya. Kehidupan seharian sebagai guru Sains di Sekolah Rendah Kampung Teluk
adalah satu anugerah. Kawasan perkampungan nelayan yang masih bercirikan
tradisional itu membuatkan hatinya terpaut untuk terus menabur bakti. Anak-anak
nelayan yang dahagakan ilmu menjadi sumber kekuatan.
Kampung teluk yang
berpantai putih bersih tidaklah seluas mana. Kawasan pantainya
bersebelahan dengan tanah tinggi. Dari pantainya yang bersih, tanah itu
mengunjur naik membentuk batuan keras yang memancang bukit bukau. Kawasan tanah
tinggi yang cukup subur itu menjadi punca pendapatan kedua bagi nelayan di situ.
Ramai yang memugar tanahnya untuk dijadikan dusun durian.
Begitu jugalah yang dibuat Haji Salleh, ayah Siti Zulaikha.
Semenjak dia tidak lagi ke laut, masanya banyak di habiskan di dusun durian itu.
Walaupun tanah pugarnya jauh ke dalam hutan, dia tetap berulang alik dari
kampung ke situ, malahan kerap kalinya dia akan bermalam di sana .
Bagi gadis itu, hari cuti akan menjadi hari dia menemani
ayahnya ke sini. Hari inilah dia akan menyapu daun-daun durian kering yang
gugur di sekitar pondok tua ayahnya. Tatkala cahaya matahari setinggi alis
matanya, dia mula menghidupkan kayu api untuk menanak nasi dan menggoreng ikan.
Semua itu adalah kepuasan baginya. Waktu itulah nostalgia zaman kanak-kanaknya
hidup semula. Merasai kehidupan bagai orang lama, hidup sekadaran namun fikiran
tanpa celaru.
Cukuplah sepinggan nasi panas, ikan goreng, sambal dan
pucuk kayu yang dipetik di dusun itu. Bagi ayahnya, makan sebegitu adalah
nikmat yang tidak tercerita. Ketika zat dalam badan berubah menjadi keringat, kala
itulah menyuap nasi adalah satu kesyukuran. Butir-butir nasi semata sudah
terasa lazatnya!
Air di takungan dikocak-kocaknya beberapa kali. Hari ini
dia ralit benar bermain air. Belum sempat dihidupkan api di tungku. Air yang
mengalir keluar dari hujung buluh itu disalurkan dari mata air di kaki bukit. Haji
Salleh telah menyambung beberapa batang
paip pvc lama sebelum sampai ke dusun. Di
dusun, dia menyambung aliran air itu dengan buluh yang dibelah dua.
Itulah yang indahnya. Air yang jatuh dari hujung belahan
buluh ke takungan mengalunkan iramanya yang tersendiri.
Haji Salleh sejak awal tadi keluar. Mahu menebas di ‘hujung
kampung’ katanya. Hujung kampung yang dimaksudkan itu adalah sempadan dusun
mereka. Tanah seluas tiga ekar itu perlu dibersihkan sebelum musim durian gugur.
Batang-batang pokok kayu renek sudah menjadi belukar lalu harus ditetak dan
dibakar. Biar mudah sedikit mencari durian di pagi hari.
Sempadan dusun itu bersambung dengan hutan luas. Dusun Haji
Salleh letaknya paling di tengah hutan, jauh dari kebun orang lain. Haji Salleh
yang suka begitu. Dia tidak mahu berebut-rebut dengan orang kampung yang mahu
memugar kawasan yang dekat dengan kampung nelayan.
Nampaknya, ayahnya akan berlama di sana pagi ini, begitulah telahan Siti
Zulaikha. Jika dia sempat menyiapkan
juadah hari itu lebih awal, bolehlah dia menyertai ayahnya di hujung kampung
memerun himpunan ranting kering yang sempat ditetak ayahnya minggu lepas. Kayu-kayuan
yang lebih besar boleh dibawa ke pondok untuk dijadikan puntung api. Ubi kayu
yang digali semalam masih ada di pelantar. Jika sempat dilempar dalam bara api
yang memijar, merasalah dia makan ubi kayu bakar sebelum pulang nanti!
“Siti! Siti
Zulaikha!”
Lamunan gadis itu terputus. Siti Zulaika mencari arah
datangnya suara ayahnya. Hairan! Mengapa
hari ini awal benar ayahnya selesai bekerja?
Dia belum pun sempat menanak nasi!
Dari kejauhan, matanya menangkap kelibat si ayah menghayun
langkah sukar, sambil memaut seorang lelaki yang lebih tinggi dari dirinya. Aneh
sungguh! Siapa pula yang ada di dusun
itu? Sakitkah dia? Mengapa dia harus dibantu?
Siti Zulaikha cepat berlari anak menghampiri ayahnya. Tatkala
dia mendekati mereka, hatinya berdegup kencang melihat seorang lelaki muda yang
calar balar tubuhnya dipenuhi darah. Dia yang bagaikan separa sedar itu dipapah sama oleh si gadis. Kasihan ayahnya
yang tua. Kederatnya tidak cukup untuk membawa anak muda itu sendirian.
“Cepat, Zulaikha!
Dia parah!” suruh ayahnya, tercungap-cungap.
“Siapa dia ini, ayah?”
tanya gadis itu, hairan.
“Entahlah,” balas
ayahnya, semput. “Jomlah kita bawa dia ke pondok. Orang ini harus dibantu!”
Siti Zulaikha segera akur arahan ayahnya. Si pemuda yang
tinggi tegap itu bukanlah lawan mereka. Mereka berdua terpaksa bertungkus lumus
mengangkat tubuhnya yang berat, dan meletakkannya di atas pelantar. Dia yang
kini langsung tidak sedarkan diri.
Siti Zulaikha memandang wajah itu. Ada luka halus namun tersebar di pipi
kanannya. Gadis itu serta merta tersentak. Terpesona dia. Wajah itu sungguh
indah, walaupun terlindung di sebalik calar balar dan kulitnya yang kotor
berminyak.
Siapakah dia? Apa
yang telah terjadi padanya? Baik atau jahatkah oran gnya?
Serta merta gadis itu memaling mukanya. Rasa berdosa pula
melihat lelaki yang tidak pernah dikenalinya itu.
UMAR BERLARI-LARI SAMBIL menggalas beg sangkutnya. Keringat halus mula memercik di
dahinya. Nafasnya turun naik dengan sekata. Bertahun-tahun dia begitu, sehinggakan
dia tidak tercungap-cungap lagi berlarian sebegitu.
Mengapa dia harus berlari?
Tentulah ada sebabnya. Jika dia ditanya, beginilah jawapannya, “Saya tiada
pilihan... .”
Sekolah Menengah Bakti yang terletak satu setengah
kilometer dari rumahnya terpaksa didatanginya setiap hari. Dengan sakunya yang
kosong, dia tidak dapat menunggu bas ke sekolah, sebagaimana dia tidak dapat
merasa peluang membeli makanan di kantin seperti anak-anak lain yang sebaya
dengannya. Bekalan ubi rebus bersama kelapa itulah yang dibawanya ke sekolah
setiap hari. Tidak pernah dia merungut akan keadaannya itu.
Tahun demi tahun, dia telah membesar menjadi anak remaja
yang gagah. Otot kakinya berulas dek kesungguhannya mengayuh urat kakinya
setiap hari. Betisnya seteguh keluli, dan urat ketinnya melantun bagaikan
spring. Kulitnya yang dibakar mentari berubah menjadi sawo matang.
Tatkala dia meningkat remaja, dirinya menjadi kegilaan
gadis-gadis di sekolah. Bukan kerana penampilannya semata-mata, anak ini juga mempunyai
sikap yang sangat baik. Prestasi pelajarannya juga bagus. Dia menjadi contoh di
kalangan guru. Walaupun orangnya pendiam, tindakannya cepat, prihatin dan penuh
pemikiran.
“Umar! Awak sibuk
petang nanti?” Suresh kawan rapatnya
menegur sewaktu loceng pulang berdering dua kali.
Umar memerhati rakannya yang kurus dan tinggi lampai itu. Suresh
yang berkaca mata tebal juga merupakan seorang pelajar yang bijak di sekolah
itu. Mereka sekampung dan bersahabat baik sejak kecil lagi.
Tersenyum dia seperti selalunya, lalu bahu Suresh dipaut
dengan lengannya yang berotot kejap, “Biasalah Suresh. Kau cari aku di kebun
nenas,” ujarnya, mesra. “Tapi jangan
awal sangat. Aku tak sempat siap kerja nanti!”
Mereka berpisah di hadapan pagar sekolah. Suresh menunggu
ayahnya datang mengambilnya dengan motorsikal manakala Umar berlari-lari anak
membelah mentari terik jam dua petang.
Bekerja di kebun nenas bukanlah sesuatu yang mudah. Dia
terpaksa menanggung berkampit-kampit baja tahi ayam di bahu remajanya. Ayahnya,
Lebai Dasuki, kerap mengambil upah dari Tauke Leong bila tiba waktu menanam
semula.
Mentari petang yang terik membuatkan peluh memercik di
belakang badannya yang tegap. Kala itulah, kampit baja yang ditanggung di
belakang pundaknya basah terkena peluhnya. Lalu peluh dan najis ayam itu
bercampur menghasilkan asid yang tajam. Habis melecet kulitnya bergesel dengan
kampit baja itu.
Namun, dia tidak pernah mengeluh. Dia yakin benar, suatu
hari nanti nasibnya akan berubah. Dia tidak akan susah selamanya. Setelah dia
senang nanti, ayah dan ibunya akan dibawa tinggal bersama dengannya, lalu
mereka tidak lagi perlu bekerja keras.
“Tak apalah, Umar. Memang manusia diberi Allah Taala tulang
empat kerat untuk bekerja,” ucap ayahnya
seperti selalunya. Orang tua itu memang sudah menerima hidup seadanya. Setiap
kali Umar menyatakan impiannya, begitulah jawapan ayahnya.
“Tapi, Tauke Leong yang memerah keringat ayah untung
berganda-ganda tanpa perlu bekerja,”
balasnya, merasa dipergunakan. Di manakah keadilan dalam kehidupan? Begitulah akal mudanya berkata-kata.
“Siapa kata dia tidak bekerja?” ujar Lebai Dasuki, melantunkan kembali persoalan
itu di benak anak remajanya. “Ayah bekerja siang sahaja, Tauke Leong bekerja
siang malam...,” selar orang tua itu
sambil bersandar di perdu kelapa. Tangannya dibasuh dengan air dari botol
mineral. Seketika nanti tangan itu jugalah yang akan mencubit ubi rebus dari
bekalan.
Umar mengerutkan dahinya. Tiada pertanyaan lagi yang keluar
dari mulutnya. Dia menunggu ayahnya menjelaskan dengan lebih lanjut.
“Orang berniaga seperti Tauke Leong itu, sampai tidurpun
masih mengira hutang, tanggungan dan seribu satu macam perkara lagi,” selar orang tua itu, yakin sungguh. “Bukan
mudah kerja orang berniaga, Umar... .”
Anak remaja itu terdiam. Tidak mampu rasanya berselisih
pendapat dengan ayahnya. Setiap kata-kata orang tua itu seperti ada betulnya
bila dilihat dari sudut tertentu, walaupun dia masih yakin yang dia harus
berusaha membawa kedua orang tuanya keluar dari kesempitan itu.
“Kalau Lebai dapat bantuan zakat nanti, bolehlah Lebai
belikan basikal untuk Umar,” begitulah
pujuk Cikgu Lina yang amat mengambil berat akan dirinya.
Ketika itu juga Lebai Dasuki menolak mentah-mentah. Dia
bersungguh-sungguh berkata yang dia tidak boleh menerima zakat. Umar masih
ingat jelas kata-kata ayahnya, “Saya masih boleh bekerja, Cikgu. Zakat itu
untuk orang yang tidak mampu... .”
Cikgu Lina menggeleng sendirian. Umar dapat melihat betapa
gurunya pening dengan jawapan ayahnya.
“Lebai... tak kasihankan Lebai melihat Umar berlari ke
sekolah. Jauh pula jaraknya...,” pantas
Cikgu Lina memberikan buah fikirannya.
“Kasihan... . Memang saya kasihan...,” balas orang tua itu, tidak menolak kata-kata
guru anaknya.
“Tapi...?” Cikgu
Lina bertanya kembali, seperti mahu menduga pemikiran lebai tua itu.
“Budak yang biasa hidup selesa, akan jual agama dan
negaranya bila dia tiba-tiba jatuh susah!”
Umar melingas ke kiri dan ke kanan. Dalam mimpinya yang
panjang itu, dia nampak kembali zaman remajanya. Kata-kata terakhir ayahnya
pada Cikgu Lina tertanam kuat di ingatannya. Ia bertapak kukuh, menjadi satu
kosa kata yang berulang-ulang di fikirannya, namun tidak pernah mahu dijadikan
tunjang hidupnya.
Kalaulah dipegangnya kata-kata itu, tentu sudah lama
tawaran itu ditolaknya. Kerana tidak yakin dengan nasihat ayahnyalah, dia
menerimanya. Waktu itu dia hanya nampak keuntungan yang berlipat. Dia lupa
kerana mabuk wang!
“MENGAPA DIA MELINGAS, ayah?” Siti
Zulaikha bertanya kehairanan. Pemuda yang sedang lena itu tiba-tiba sahaja
meronta kecil, seperti bermimpikan sesuatu. Hairan gadis itu, sejak pagi
kelmarin hingga hari ini, si pemuda lena panjang tanpa terganggu.
Dek kerana kejadian awal pagi kelmarin, mereka dua beranak
terpaksa bermalam di pondok itu. Haji Salleh mengambil masa sehingga petang
untuk mencuci dan mengubati luka di tubuh anak muda yang tidak diketahui
namanya itu.
“Di mana ayah jumpa orang ini?” tanya Siti Zulaikha setelah dua beranak itu
meletakkan si pemuda di atas pelantar. Di dalam keadaan dirinya yang masih
sangsi akan kehadiran jejaka yang penuh misteri itu, rasa simpati lekat juga di
hatinya.
“Di hujung kampung. Dia pengsan di perdu durian,” beritahu Haji Salleh, penuh simpati.
“Kalau dia orang jahat, bagaimana ayah?” tanya gadis itu lagi, runsing.
Haji Salleh serta merta menggeleng kepalanya. Wajah bujur
sirih anaknya dipandang sekilas, “Jahat atau baik, dia manusia yang dalam
kesusahan. Dia berhak dibantu.”
Siti Zulaikha menggigit bibir. Tidak guna dilawannya kata
ayahnya. Orang tua itu lebih dahulu makan garam.
DALAM SAMAR-SAMAR pandangan matanya, dia kembali ke zaman remajanya. Waktu
itu ibunya meninggal setelah tiga bulan batuk tanpa henti. Umar kini kehilangan
kasih seorang ibu, pada umurnya di awal tujuh belas tahun.
Seperti tidak puas rasanya bermanja dengan ibu. Tidak dapat
diterimanya pemergian yang sebegitu cepat, hanya kerana penyakit batuk. Sebab
yang terlalu sedikit. Argh!
Lalu dia mencari satu tempat untuk diletakkan kekesalannya.
Kemiskinan itulah puncanya, hingga ibunya tidak dapat dibawa ke hospital yang
lebih canggih untuk membuat pemeriksaan menyeluruh. Dengan kekurangan dan
kemiskinan keluarganya, ibunya hanya berharap pada ubatan kampung dan ubat
batuk dari klinik desa berdekatan semata-mata.
“Kalau ibu sempat dibawa ke hospital besar, tentu ibu belum
mati,” keluhnya tatkala Lebai Dasuki
mengajaknya pulang dari kebun nenas. Sejak pemergian ibunya, setiap petang
selepas kerja di kebun nenas, dia akan singgah di tanah perkuburan untuk
melawat pusara ibunya.
“Umar..., ajal maut itu sudah ditetapkan Allah. Penyakit
batuk itu sebagai sebab-musabab sahaja,”
jelas Lebai Dasuki, seperti memujuk anaknya supaya lebih faham dan
menerima.
“Tapi... kata Ustaz, manusia harus berusaha, tidak boleh
lepas tangan...,” balasnya serta merta, sinis.
Dia merasakan yang ayahnya kurang mengambil berat akan ibunya. Setitis air
jernih jatuh di pipinya.
“Betul...,” balas
ayahnya, lanjut. Orang tua itu sedikitpun tidak terasa hati dengan ucapan sinis
anaknya. “Cuba kamu tengok
di sebelah sana ...,” kata ayahnya sambil menunjukkan di luar sana kebun, melintasi
parit yang membahagi kebun nenas tauke cina itu dengan hutan di sebelahnya. Umar
serta-merta merenung kejauhan. Ada
beberapa batang pokok nenas liar tumbuh di dalam hutan itu, begitu subur
sekali.
“Mana yang lebih cantik, nenas yang kita jaga ini, atau
nenas di luar sana ?” tanya ayahnya, tenang.
Umar merenung ke luar sana
untuk kedua kalinya. Pokok nenas itu diperhatinya. Memang tiada bezanya. Perlahan-lahan
dia menggeleng kepalanya. “Sama sahaja. Yang di luar dan yang kita jaga, sama
sahaja suburnya.” Mati akalnya. Kala itu
akalnya bagai dijentik.
“Bagaimana yang di luar sana boleh sama suburnya dengan yang di sini.
Siapa yang menjaganya?” tanya Lebai Dasuki
lagi.
“Allahlah!” balas anak muda itu, cepat. Dia yakin benar
dengan jawapannya. Itulah yang selalu dikatakan ustaz dan ustazah di sekolah.
Lebai Dasuki tersenyum tenang. “Kalau begitu, tak perlulah
kita baja nenas di dalam kebun ini. Yang di luar sana , tidak dijagapun, tumbuh subur juga!
Allah yang jaga... .”
Umar memejam matanya, kecewa. Setitis air jernih jatuh lagi.
Dia tidak dapat menangkap maksud ayahnya. Makin keliru dia. Apa hubung kaitnya
dengan kematian ibunya!
“Umar, Allah bukannya menilai hasil, tetapi Dia menilai
usaha kita. Kita harus membaja, menyiram dan sebagainya. Itu usaha! Namun hasilnya, yang menumbuh dan menyuburkan
pokok ini... Allah!” ucap ayahnya, lembut.
“Kita harus berusaha mengubati ibumu, tetapi yang menyihatkan atau mentakdirkan
apa sahaja buat ibumu... bukan kita, anakku...
.” Lebai Dasuki mengusap lembut kepala
anaknya. “Ada
orang yang lega dari sakitnya tanpa berubat, ada orang berubat beribu ringgit, tetapi
mati juga. Tapi, berusaha itu wajib. Penentunya, Allah... .”
Sekali lagi tubuhnya melingas dengan kasar. Kata-kata
ayahnya menusuk di hatinya yang paling dalam. Dan kata-kata itu bertapak kuat
di ingatannya. Namun, sukar sungguh untuk diterimanya.
Dua beranak yang menjaga dia yang cedera parah itu terkejut
untuk kedua kalinya. Pemuda ini bagaikan lena di atas bara api. Dia melingas
dan berpeluh rintik. Haji Salleh cepat-cepat menyapu air bacaan Yasin ke wajah
pemuda itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan