
Bab 1 Cemas
Keadaan jalan tar di
situ bagaikan ular dipalu. Dia mula mengesat peluh yang merenek di dahinya. Sesekali
dia menarik nafas dalam. Stereng kereta dipulasnya dengan tangkas. Tidak boleh
ralit di situ, buruk padahnya.
Anak matanya mencuri
pandang ke cermin pandang belakang. Tiada!
Hatinya terdetik berbagai pertanyaan. Di dalam rasa curiga yang masih
belum reda, dia memandang semula ke sisi sebelah kanan jalan yang sayup-sayup
mata memandang.
Gaung yang dalam itu
amat menggerunkan. Kesunyian petang itu makin terasa bila berada di kawasan
yang tidak pernah dilaluinya. Nun di bawah sana , dia dapat melihat rimbunan pohon-pohon
durian yang mula memutik buahnya. Warna perang gelap pepohon durian meliputi
cerun curam itu hingga ke dalam sana
gaung.
“Hm… kalau ada kebun durian, tentu ada orang di
sini!” getus hati kecilnya, cuba
menyedapkan perasaannya sendiri. Ya, itu rasionalnya. Tidak mungkin kebun
sebegitu wujud sendiri!
Sekali lagi matanya
mengerling ke cermin belakang. Zup! Kali
ini dia nampak lagi, dan dia semakin yakin!
Walaupun, tebing tinggi di sebelah kiri jalan melindungi objek hitam di
belakang, dia masih dapat melihatnya sepintas lalu bila tiba di kawasan
yang kurang beloknya.
Dia mula menelan liur.
Pahit rasanya, apa lagi bila hati mula dipagut resah. Entah mengapa kereta itu
ada di belakangnya sejak tadi. Masakan kebetulan, memandangkan dari kawasan
pekan tadi lagi, hinggalah ke kawasan yang sunyi ini, kereta itu masih tetap di
belakang, walaupun jaraknya agak jauh juga.
Dia yakin benar dengan
daya ingatannya. Memang kereta itu sedang mengekorinya! Dia nampak dua orang lelaki di dalamnya, walaupun
samar-samar. Anak muda itu menghembus kasar angin dari bawah bibirnya, hingga beralun rambutnya
yang terjuntai. “Rambut ini, entah bila hendak dikemaskan!” desis hatinya, rimas.
Entah mengapa, tiba-tiba
hatinya berdebar kencang. Rasanya, kereta hitam itu cuba memotongnya di jalan yang
sempit itu. Dia cepat menekan minyak. Entah mengapa, hatinya kuat mengatakan
yang mereka itu berniat buruk!
“Mungkin ini jugalah yang berlaku pada Tuan Haji!” hatinya berbisik penuh persoalan. Pedal
minyak ditekan lagi, sehingga menderam bunyinya, apa lagi jalan mula mencuram naik
ke atas.
“Ah! Mereka makin rapat!” dia menggerutu sendirian. Perasaannya mulai cemas. Wajah Tuan Haji yang tenang dengan
matanya yang terkatup rapat dan bibirnya yang tersenyum tergambar jelas
di fikirannya. Semakin hari semakin jelas dan sukar ditanggalkan! Itulah, ubat itu semakin menjalar kuat di
otaknya!
Tangan kanannya
menepuk stereng. Dia mendengus kesal. Belum puas dengan perlakuan kasar itu,
hujung siku kanannya menopang ke birai cermin pintu kereta. Pangkal jari
telunjuknya digigit sekilas.
Kesal! Dia sungguh sungguh kesal! Rasa mahu dihempas kepalanya di dinding. Bodoh
sungguh! Mengapa dia tidak berfikir panjang
sebelum menerima tawaran itu!
Terdengar bunyi
berderam di sebelah. Kereta tadi! Dek
kerana rasa kesal itu, dia lupa seketika akan mereka yang tidak diundang
kehadirannya. Kedua-dua belah tangannya cepat memulas stereng ke kiri. Sedikit
sahaja lagi! Hanya sipi-sipi sahaja
bonet kereta hitam itu dengan pintu belakang keretanya!
“Memang mereka ini
sengaja mencari nahas!” makinya, keras.
“Priiiittt!” Panjang kedengaran bunyi tayar menyeret jalan.
Dengan perasaan cemas dia menoleh ke sebelah. Kini jelas nampak wajah penumpang
di sebelah tempat duduk kiri kereta itu. Sekali lagi dia meneguk liur. Jelas di
ingatannya wajah itu! Lelaki botak
itulah yang pernah dilihatnya di rumah Tuan Haji!
Memang ubat itu sudah
sebati dengan otaknya! Jika tidak
masakan dia ingat sebegitu kuat!
Dan … si botak itu sedang menghala muncung pistol
ke arahnya!
“Pang!”
Kaget dia bila cermin
keretanya tiba-tiba ditembusi sesuatu. Dia cepat tunduk, sehingga tidak
terkawal stereng keretanya. Matanya sekilas memandang ke cermin yang kini
ditembusi peluru kecil itu. Kini lubang di sekitar tembakan itu mula retak
seribu, walaupun belum mahu berderai.
“Ya Allah!”
Dia tunduk lagi bila
peluru kedua memecahkan cermin keretanya. Cebisan kaca halus menerjah pipi
kanannya. Peritnya! Tidak sempat dia
menyapu pipinya yang mula berdarah memercik halus. Keretanya miring ke tebing
tinggi berturap simen tebal di sisi kiri jalan. Stereng kereta cepat dikawalnya.
Bagai pecah jantungnya menerima situasi yang tidak diduga itu. Hampir lagi
keretanya menghentam tebing keras itu!
“Allahu Akbar!” pekiknya, cemas.
Syukurlah kerana dia
masih mengingat Tuhan di kala kecemasan begitu. Kala itu, dia tiada pilihan
lain selain nekad meletakkan takdirnya di bawah aturan Yang Maha Berkuasa.
Hidup atau mati! Ah! Itu bukan soalnya! Kalau Allah kata aku hidup, maka aku akan
hidup... walau apa jua keadaannya nanti!
Kalau janji-Nya aku mati, maka aku mati selepas berjuang!
Kala itu terbayang
wajah Suresh yang tersenyum lemah. Kesal itu datang lagi. Kesal berbaur
marah! Stereng kereta digenggam kejap. Kakinya
menekan pedal minyak sehingga rapat ke lantai. Enjin kereta menderam semakin
kuat. Bau zarah petrol menyengat hinggap di rongga hidung!
Mampus kau!
Stereng kereta diputar
ke arah kanan sekilas, sehingga sisi keretanya menghentam sisi kiri kereta
hitam yang masih sedari tadi seiring dengannya. Kereta hitam itu terhoyong ke
kanan, hampir terdorong ke dalam gaung, namun ia dapat dikawal kembali lalu
memotong laju keretanya. Mereka kini lebih ke hadapan daripadanya, lalu secepat
mungkin memintas di hadapannya dan sengaja menekan brek sehingga dia terpaksa
memperlahankan keretanya yang kini membuntuti mereka.
Argh! Melampau sungguh!
Mustahil dia dapat
memusing dan berpatah balik di jalan yang sempit dan bergaung ini. Dia mengerut
dahi. Resah sungguh melihat keadaan yang kritikal itu.
Biar sampai ke hujung
nyawa!
Bagai mendapat
kekuatan entah dari mana, dia menekan minyak paling maksimum, sehingga keretanya
itu terdorong laju ke hadapan dan menghentak bumper kereta hitam itu. Kali ini,
dia berharap sungguh-sungguh supaya kereta hitam itu terus terjun ke dalam
gaung di hadapan sana !
Biar padan dengan
mereka!
Namun, dengan tidak
disangka, tiba-tiba cermin hadapannya ditembusi peluru secara bertubi-tubi. Dia
sempat tunduk mengelak. Cermin kaca hadapan pecah berderai. Tidak dapat
dijangka lagi apa yang ada di hadapan. Keadaan seribut itu begitu menduga
kecekalan hatinya. Peluru hidup itu datang bagai hujan yang tidak tahu
berhenti.
Allah! Hanya Kau yang tahu penghujung takdirku!
Hatinya sempat
meyakini tatkala merasakan kereta yang dipandunya melayang ke hadapan, kemudiannya
menjunam turun selaju ribut.
Kala itu dia sempat
menendang pintu hingga terbuka... .
KERETA PUTIH ITU MENJUNAM jatuh ke dalam gaung, lalu berputar beberapa kali sebelum meletup dengan
kuat. Api menjulang dengan marak di antara pepohon durian yang sedang lebat
berbuah.
Serta merta kereta
hitam di hadapan berhenti di bahu jalan. Lalu keluarlah dua orang lelaki perpakaian
seragam biru dengan tergesa-gesa. Lelaki botak berwajah serius itu merenung ke
dalam sana
gaung dengan matanya yang mengecil.
“Kesan signal!”
katanya, menyuruh tegas.
Lelaki yang lebih muda
di sebelahnya mengeluarkan satu alat sebesar kalkulator, bersama satu aerial
sepanjang 10 cm. Alat itu dihidupkan, lalu terpaparlah graf frekuensi yang
sekata.
“Isyaratnya sudah
mati,” balas si pemuda yang berbangsa India ,
namun masih sangsi.
“Cuba kesan sekali lagi!” suruh si kepala botak.
Si pemuda India
itu mengangguk akur. Sekali lagi dia membawa alat itu, lalu dihalakannya ke
alam luas untuk mencari isyarat yang diminta itu. Namun seketika kemudian dia
kelihatan menggeleng-geleng kepalanya.
“Boss, kita mesti
pantau signal ini sekurang-kurangnya
sebulan. Kalau dia pengsan pun, signal
ini boleh mati juga,” pemuda itu
memberitahu dengan yakin.
Lelaki botak itu
menarik nafas dalam. Dengan cepat dia mendail telefonnya. Seketika kemudian, terdengar
suaranya berkata di gagang, “Tuan, kereta masuk gaung dan meletup. Status ajen
tidak dapat dipastikan. Signal tidak
dapat dikesan. Tolong hantar pasukan untuk buat pencarian di kilometer 97!”
Suasana sekitar
beransur gelap. Api yang menjulang tadi kini telah malap. Tinggallah kawasan
belukar sekitar yang masih dimamah api kemerahan bekas letupan tadi. Pasukan mencari telah
datang dengan dua buah jeep. Lima
orang petugas operasi mencari telah datang dengan peralatan mendaki. Gaung yang
curam sembilan puluh darjah itu hanya boleh dituruni dengan tali.
Pencarian selama satu
jam berakhir dengan sia-sia. Bangkai kereta yang telah rentung kosong di
dalamnya. Tiada mayat atau tulang belulang yang hangus dalam letupan itu. Dia
yang dicari hilang begitu sahaja tanpa dapat dikesan.
Si kepala botak
menggigit bibir dengan perasaan terbakar. Sekali lagi dia mendail nombor tadi, lalu
memberi laporan, “Tuan, ajen 007 hilang tanpa kesan. Gerakan mencari masih
diteruskan!” Dia terdiam sambil
mendengar arahan di sebelah sana
talian. Seketika kemudian, dia mengangguk, lalu membalas, “Ajen 007 memang
cukup terlatih untuk menghadapi saat genting!”
Dia terdiam lagi. Mukanya berkerut seketika, mungkin dimarahi di hujung sana .
Seketika kemudian, dia menggeleng sendirian, lalu
membalas, “Ya, ajen 007, ‘Murad 007’!”
Murad 007? Siapakah dia?
Nama yang disebut itu bagai ada auranya yang tersendiri... .
Mentari ‘fatamorgana’
di ufuk barat tenggelam dengan cepat. Lancang kuning berlayar malam. Langit
merah menyambut kehadiran mereka yang
tidak kenal waktu untuk menyembah diri pada Yang Kuasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan