![]() |
| Ambillah kesempatan menikmati anugerah-Nya yang alami... |
Bab 6 M.U.R.A.D 007
Umar meloncat tangkas di antara akar kayu yang melintangi
perjalanannya. Dia sempat nampak beberapa buah kereta datang dengan laju, lalu
memarkir di sisi jalan di atas tebing sana .
Sah! Dia pasti benar. Mereka telah dapat mengesannya!
Namun, sementara mereka turun melalui tebing curam, dia
telah terlebih dahulu meninggalkan tempat itu.
Sah! Cip inilah yang dapat dikesan mereka. Umar memegang
lengannya yang berparut sambil mengetap bibirnya.
Harus kembali ke dusun! Kawasan itu sukar dikesan. Namun,
dia khuatir juga jika orang-orang itu dapat mengesan jejaknya hingga ke situ.
Khuatir Haji Salleh akan terlibat sama di dalam masalah ini nanti!
Lalu, dia harus cari jalan lain supaya mereka tidak dapat
mengesan jejaknya melalui cip di lengannya.
Ah! Bagaimana?
Dengan cepat dia mencari sebuah banir besar untuk
menyembunyikan diri. Harus pantas! Dia tidak boleh berlama di situ. Mereka akan
dapat mencarinya selagi dia tidak sampai ke dusun!
Cip di lengannya harus dibuang!
Anak muda itu duduk melutut lantas mengoyak baju lusuh Haji
Salleh yang dipakainya. Cepat digulungnya membentuk tali, lalu sepantasnya
diikat di pangkal lengan kiri menggunakan tangan kanan serta giginya.
Harus bertahan! Anak muda yang kini tidak berbaju itu
mengetap giginya. Kini lengan tegapnya mula terasa kebas. Dia tidak boleh
teragak-agak!
Dikeluarkan pisau
lipat yang diikat di belakang tali pinggang. Pisau tajam berkilat yang tidak
pernah lupa diasahnya itu kini terhunus.
“Bismillah...,” anak muda itu mengucapkannya dengan yakin
sebelum mendekatkan pisau itu ke
lengannya.
Dengan yakin hati,
hujung pisau itu dirodok ke bekas parut. Sakitnya, menangkap hingga ke otak! Terjegil
matanya seketika. Darah merah memercik keluar dari lengannya, lalu disapu sekilas
supaya tidak sempat menitis.
Luka selebar lima sendimeter dirobeknya
lagi... semakin dalam. ‘Ya Allah!’ desisnya,
tidak tertahan. Dia masih mencari-cari objek sepanjang satu sentimeter yang
pernah ditanam di situ. Matanya dipejam supaya dia dapat merasai kehadiran logam
yang telah terbenam di lengannya sejak tiga tahun yang lalu.
Ah! Dapat juga
akhirnya!
Umar menarik keluar
pin logam sepanjang dua sentimeter itu. Pin yang dipenuhi darah itu dipegangnya
dengan perasaan geram. Kala itu, rasa sakit bercampur marah membakar hatinya.
Serta merta diambil parang panjang lalu dikoreknya tanah di hadapan banir itu.
Kira-kira pada kedalaman setengah kaki, pin itu dilemparnya ke dalam lubang
lalu ditimbusnya secepat mungkin. Kain baju lebihan tadi ditekupnya menutupi
lukanya yang dalam.
Secepat mungkin, anak
muda itu menyambung langkah sepantas mungkin meninggalkan tempat itu. Walaupun
kepalanya berasa seperti bergoyang, dia terus berlari tanpa henti.
Ah! Kalau Allah belum
mengizinkan, sampai matipun mereka tidak mungkin dapat mencarinya!
Akhirnya, dia sampai
juga ke pondok. Umar segera mencari pohon durian paling hampir dengan pondok.
Dia masih ingat, ada sarang kerengga teranyam antara dedaun durian. Kerengga
yang merayap hingga ke pangkal pokok itu amat berguna baginya di saat genting
ini.
Luka itu harus
diubati. Tapi, dia tiada cara lain lagi. Itulah satu-satunya cara yang ada.
Sambil berlutut di
hadapan pangkal pokok itu, dia memegang seekor kerengga liar yang serta merta
menggigit hujung jarinya. Bibirnya berdecit seketika. Kerengga itu dibuangnya.
Dia mengambil kerengga
yang kedua dengan cepat, agar tidak sempat menggigit jarinya. Kepala makhluk
kecil itu didekatkan ke kulitnya yang terhiris tadi. Serta merta kerengga itu
menggigit antara dua kulit yang terhiris. Umar cepat memulas leher serangga
itu, lalu kepalanya tertinggal di luka itu. Sejenis cecair berasid keluar
menyerap ke kulitnya yang mula membengkak. Berdecit lagi mulutnya. Pedih
sungguh!
Diulangnya lagi
perbuatan itu, hingga tertutup luka keseluruhannya. Itulah cara menjahit luka
yang sempat diajar ayahnya sewaktu dia masih kecil. Jahitan menggunakan fiber
halus yang dikeluarkan dari mulut kerengga, diubati pula asid yang merembes
keluar dari badan makhluk itu, amat mujarab untuk mempercepatkan penyembuhan
luka yang dalam.
Umar kembali ke pondok.
Kakinya diatur penuh berjaga, memijak anak tangga berselang itu. Tiba di atas pondok,
anak muda itu cepat menutup pintu dan menguncinya dari dalam. Sambil memejam
mata dan menarik nafas sedalam-dalamnya, dia membaringkan badannya.
Cukuplah apa yang
terjadi hari ini. Dia berasa amat letih. Serentak diletakkan kepalanya di
bantal, anak muda itu terlelap tanpa dipaksa.
GADIS ITU MENGHAYUN LANGKAH tenang ke makmal komputer. Hari ini dia
bertekad untuk menggunakan masa lapangnya mencari maklumat. Daun pintu ditolak
tenang, lalu pandangannya lirik ke dalam makmal. Masih ada beberapa orang guru
yang sama sepertinya, tidak sempat mengisi perut kerana masih sibuk dengan
tugas.
Sambil melemparkan
senyum manis, dia mendekati sebuah komputer, lalu melabuhkan punggungnya di
atas kerusi berputar. Disedutnya nafas sedalamnya, agar lapang sedikit dadanya.
Tugas mencari maklumat secara rahsia ini membuatkan dadanya gemuruh.
Perlahan-lahan dan
penuh perhatian, dia menekan nama itu di enjin pencarian Google, ‘Muhammad Umar
Raqib Bin Haji Ahmad Dasuki’.
Bersinar matanya
tatkala melihat ada beberapa maklumat dari blog yang memperkatakan tentang nama
itu. Dengan cepat, dia menekan tajuk pertama dalam senarai carian. Serta merta
timbullah satu blog di skrin komputer.
Matanya dikecilkan.
Sejenak diperhatikan gambar kabur yang muncul di skrin. Gambar yang nampak
pudar ditelan masa itu kelihatan seperti diimbas kembali, lalu dimuatkan ke
dalam blog peribadi tersebut.
Maklumat yang datang
bersama gambar foto pasukan sekolah itu dibacanya seketika, ‘barisan pemain raghbi sekolah yang diketuai
kapten kami, Muhammad Umar Raqib Ahmad Dasuki, sewaktu perlawanan menentang
musuh tradisi kami, Sekolah Menengah Kebangsaan Changkat’.
Siti Zulaikha merenung
kembali gambar itu. Imej itu sengaja dibesarkan dua kali ganda, lalu dia cuba
meneliti gambar setiap pemain di situ. Mujurlah tidak sukar mengecam anak muda
bernama Umar itu. Badannya yang lebih tinggi dan tegap berbanding pemain lain,
serta rambut ikalnya yang terjuntai sedikit di hadapan, membuatkan Siti
Zulaikha yakin yang dia tidak tersalah orang.
Maklumat sebanyak itu
sudah cukup untuk meyakinkan yang anak muda bernama Umar itu memang wujud
dengan namanya yang sebenar. Serta, dia juga mula faham bagaimana anak muda itu
kelihatan begitu tegap dan gagah. Rupa-rupanya,
dia bekas athlet... patutlah, desis hati kecilnya.
Masih tidak diketahui
mengapa Umar boleh sampai ke situ, sedangkan dusun kepunyaan ayahnya terceruk
ke dalam hutan yang liar. Untuk ke dusun
terdekat pun masanya hampir setengah jam! Lalu,
dari arah manakah sebenarnya anak muda itu datang?
Paling merisaukannya,
ayahnya langsung tidak tahu menahu asal-usul anak muda itu. Bila Siti Zulaikha
bertanya, itulah jawapan orang tua itu, “Entahlah... ayah tak tanyapun
padanya... .”
Dia menopang dagunya
lalu memandang skrin komputer. Sambil menarik nafas dalam, fikirannya bertebar
jauh. Entah mengapa anak muda itu masih di situ. Tidak terasakah dia untuk
pergi ke tempat lain? Atau... mungkinkah dia bersembunyi dari sesuatu?
Jika benar dia
bersembunyi... apakah sebabnya? Adakah dia telah berbuat salah lalu harus bersembunyi?
Kalau begitu, adakah dia seorang penjenayah?
Tersentap dadanya
tiba-tiba. Ngeri sungguh! Jika jangkaannya benar, bermakna ayahnya sedang
merawat seorang yang sangat merbahaya!
Meremang bulu romanya,
sehingga terasa sejuknya pendingin hawa yang terpasang di makmal itu.
Pasti! Dia harus
menyiasat lagi. Memang ada sesuatu yang tersirat di sebalik semua ini.
Kekusutan itu harus diuraikan!
Petang itu. Siti
Zulaikha memerhati gerak-geri ayahnya. Haji Salleh bersiap-siap memasukkan
pakaian berlipat ke dalam beg plastik biru diperhatikan Hajah Rokiah. Gadis itu
tunduk seketika, memandang jari kakinya, namun fikirannya tidak di situ. Dia
tahu, ayahnya tentu mahu ke dusun malam ini, dan mungkin dua tiga hari lagi
barulah dia akan pulang.
“Abang, pakailah beg
galas ini... barulah nampak kemas...,” Hajah Rokiah menegur lembut tatkala
melihat kecenderungan suaminya menggunakan beg plastik yang sudah agak lusuh
itu.
“Tak apa... tak
apa..., bukan hendak ke mana pun...,” balas Haji Salleh.
Siti Zulaikha mengetap
bibir. Matanya tunak pada orang tua yang amat sederhana itu. Hatinya bergetar
tiba-tiba. Khuatir sungguh dia jika keikhlasan ayahnya itu dikhianati orang.
Hajah Rokiah mengalah
tatkala mendengar jawapan suaminya. Dia melepas keluhan kecil, lalu mengalih
perhatian pada anaknya. “Zulaikha... bekalkan ubi rebus pada ayah,” suruh
ibunya, tenang. Wanita berwajah jernih itu sudah menerima suaminya sekadaran.
Walau sering ditinggalkan, dia tidak sesekali mengeluh. Dirinya amat faham,
suami yang dikasihi pergi untuk mengenali hakikat kejadian diri.
“Buatkan dua bekalan,
Siti Zulaikha...,” pinta Haji Salleh, menambah. “Bungkusan ayah, kamu letak seketul
sudahlah. Bungkusan Umar, letak lebih... dia perlu tenaga untuk pulih... .”
Gadis itu mengetap
bibir lebih rapat lagi. Tiba-tiba sahaja nafasnya sendat, tika mengenangkan
bagaimana ayahnya sangat ikhlas dengan orang yang tidak diketahuinya dari mana
asal usulnya.
Gadis itu menghayun
langkah ke dapur. Sambil mengerling kedua orang tuanya sekilas, tangannya
lincah mencari dua bekas plastik berpenutup. Ubi kayu rebus berwarna kuning
jernih itu telah disejat ibunya. Dia mengambil seketul ubi sebesar genggamannya,
lalu diletakkan dalam bekas pertama. Tidak berani diletakkan lebih. Sejak
kebelakangan ini, ayahnya memang kurang makan kerana mahu melatih rohaninya.
Sambil mengeluh kecil,
dia memasukkan empat ketul ubi ke dalam bekas ke dua. ‘Orang muda tentu mahu makan banyak,’ hatinya berkira-kira. Dia
mengangguk sendirian, seperti sedang berbicara dengan dirinya sendiri.
Tangan lincahnya cepat
membuka tudung pengukus, lalu disenduknya kelapa parut yang sempat dikukus
ibunya. Sendukan pertama dimasukkan dalam bekas ayahnya. Tersenyum dia. Tidak dapat dinafikan
bagaimana nikmatnya makan ubi kayu rebus yang masih panas dan gebu bersama kelapa
muda yang lemak manis. Dia menelan liur.
Namun, tatkala menyenduk
kelapa ke dalam bekalan Umar, dia tiba-tiba mengetap giginya. ‘Nanti kau... jangan fikir tiada orang yang
perhatikan kau!’ desis hatinya, memberi amaran di angin lalu.
Tanpa teragak, dia
membuka bekas garam. Nantilah kau... Umar!

Tiada ulasan:
Catat Ulasan