KUTUBUKU CARNIVAL BOOKSTORE

Sabtu, 14 April 2012

M.U.R.A.D 007 BAB 3


Bab 3


Bunyi derap air hujan memenuhi gegendang telinganya. Sedari awal petang, titisan kasar itu telah menyimbah daerah di kaki bukit itu. Irama yang sama fasanya itu tidak sesekali mengganggu pendengarannya, malahan ianya terlalu mengasyikkan.
Anak muda itu mengalih tubuhnya yang masih terasa pijar. Badannya berhaba panas. Luka-luka berbirat itu telah mendemamkannya.
Namun luka di hati lebih lagi peritnya!
Matanya menangkap satu kelibat lelaki di luar sana pondok tua itu. Air yang jatuh menyimbah di atap zink itu, turun melalui alur antara bumbung, lalu melimpah ke tanah di hadapan tangga pondok. Lelaki tua di luar sana sedang mandi air hujan itu dengan penuh bahagia. Digosok wajahnya, kepalanya dan seluruh tubuhnya yang hanya berseluar lusuh itu.
Dia memerhati dengan satu perasaan yang tidak terungkap. Rasa cemburu menjalar di hatinya. Cemburu dengan bahagia yang tidak perlu dibeli itu. Alangkah bertuahnya jika dia yang berada di tempat si tua itu.
Tangan kanannya menyapu pipinya dengan penuh dendam. Ah... tentu pipi ini telah calar teruk. Dia mendengus kasar. Namun, calar itu juga masih tidak dapat menandingi calar di hatinya.
Terbakar hatinya!  Inilah padahnya bila bekerja dengan syaitan!  Umar menggigit bibirnya dengan marah.  Perasaan yang mula meluap-luap itu cuba ditahannya.
Lelaki tua itu menapak naik anak tangga pondok. Barangkali, dia sudah puas bermandikan hujan petang. Tuala nipis di tepi tangga dicapainya, lalu kepalanya digosok penuh asyik.
Tatkala dia memijak lantai pondok yang dibuat dari susunan papan lama itu, matanya tiba-tiba tertancap pada wajah anak muda yang telah sedar dari lenanya. Dengan riak wajah penuh firasat, dia mendekati anak muda yang juga sedang menilik gerak-gerinya.
“Alhamdulillah, kamu sudah sedar... anakku,”  sapanya, lembut. Dia duduk berlutut  di hadapan pembaringan seraya menyentuh leher anak muda itu dengan kura tangannya. Suhu badan si pemuda beransur dingin. Orang tua itu tersenyum lapang. Penantian dan usahanya selama tiga hari ini tidaklah sia-sia.
“Di mana saya, pak cik?”  tanya anak muda itu dengan sukar sekali. Dia yang cuba bangun dari pembaringan itu ditahan oleh orang tua itu.
“Kamu di pondok pak cik,”  balas orang tua itu, lembut. Dengan wajah yang masih tenang, dia bertanya lagi, “Siapa namamu, nak...?”
Anak muda itu turut sama menguntum senyum. Sekilas dia dapat melihat keikhlasan di wajah orang tua itu. Lupa sudah dia pada amarah yang baru bertapak.
“Umar...  panggil saya Umar...,”  jawab anak muda itu, segan. Kepalanya yang cuba diangkat tadi diletakkan semula di atas bantal jerami berikat. Malu pula rasanya setelah terpaksa menyusahkan orang tua yang tidak dikenali itu.
Orang tua itu mengangguk seketika, seperti sedang cuba memahami sesuatu. Anak muda bernama Umar itu memerhati lagi dengan penuh tanda tanya. Hairan sungguh dia. Siapa pula orang tua penuh berhemah itu, berada di tengah hutan belantara pula? Buniankah? Apa lagi pertama kali dilihat bermandi hujan sebegitu asyik!
“Pak cik ini... siapa?”  dia bertanya kembali, lemah. Memang di kala itu, hanya si tua itulah penggantungan harapannya. Kejadian tempohari membuatkan dia terpaksa berwaspada.
“Saya... Haji Salleh,”  ucapnya, memperkenalkan dirinya. “Tinggal di Kampung Teluk... Datang ke sini untuk melihat-lihat dusun... .” 
Umar mengangguk kecil. Matanya menangkap objek berupa sebuah periuk tanah yang digantung pada alang pondok. Periuk yang tergantung selari dengan kedudukan kapalanya itu seperti berlubang, lalu menitiskan air yang bermanik halus ke atas dahinya. Anak muda itu cuba bangun semula. Lupa sudah dia pada tubuhnya yang tidak berdaya itu.
“Tidak mengapa. Itu air rendaman buah kundur. Titisannya buat menjaram ubun-ubun kamu yang panas,”  tegur Haji Salleh, lembut.
Umar meletakkan kepalanya kembali ke atas bantal jerami tadi. Fahamlah dia, bagaimana air dari periuk tanah itu menitis ke ubun-ubunnya, lalu mengalir melepasi celah rerambut dan kemudiannya mengikut ira jerami. Dari situ, air jatuh mencelah lantai papan terus ke tanah.
Umar mengangkat kepalanya lagi, lalu cuba melihat tubuhnya yang tidak berbalut. Ada luka dan calar yang kini beransur kering. Tentu orang tua ini juga yang mengubati  lukanya.
Dia memerhati wajah tua itu. Dengan perasaan bercampur baur, dia mengucap lemah, “Terima kasih... Pak Haji... .”
Haji Salleh hanya mengangguk sambil tersenyum. Dia bangun tangkas lalu menapak ke penjuru pondok. Ada tungku masak di situ, dan sebuah periuk tanah. Umar mengikut gerak geri orang tua itu dengan ekor matanya.
“Pak Cik ada masakkan bubur untuk kamu. Kamu harus makan... biar cepat sembuh,”  ujar Haji Salleh. Tangannya pantas menyenduk isi periuk itu ke dalam mangkuk plastik.
Umar memerhati orang tua itu berjurus-jurus lamanya. Mujurlah Haji Salleh tidak banyak bertanya tentang asal usulnya. Anak muda itu menarik nafas dalam. Lebih baik begitu, getus hatinya. Dia sedar, apa yang terjadi pada dirinya adalah amat rahsia.
SIAPALAH AGAKNYA pemuda misteri itu? Siti Zulaikha melayan fikirannya yang bertebar jauh.  Sejak dia meninggalkan dusun tua ayahnya petang Ahad itu,  hatinya bagai terkenang-kenang. Entah mengapa,  wajah yang tidak diundang itu lekat di fikirannya.
“Siti...,”  satu suara lanjut mematikan lamunannya.  Dia segera menarik nafas dalam.  Senyum yang menguntum di bibirnya tatkala mengenang pemuda itu pudar serta merta.
“Siti...   Kau berangan-angan,  ya?”
Munirah rupa-rupanya.  Cikgu Munirah adalah guru Bahasa Inggeris di Sekolah Rendah Kampung Teluk. Mereka memang rapat.  Apa lagi Munirah adalah anak tempatan di situ,  walaupun lebih senior dari Siti Zulaikha.
Siti Zulaikha tersenyum kembali bila menyedari yang dia hanya ditegur rakan karibnya. Pergelangan tangan Munirah dicekaknya.  Bibirnya segera didekatkan ke cuping telinga Munirah yang dilitupi kain tudung,  lalu dia berbisik, “Aku bertemu seseorang... .”  Ucapannya tidak dihabiskan.  Wajahnya tersenyum-senyum menampakkan lesung pipitnya yang dalam.
Serta merta mencerlang mata galak Munirah. Dia seperti dapat mengagak. Masakan tidak,  mustahil Siti Zulaikha begitu teruja jika tiada apa-apa!
“Lelaki...  ya...?”  Munirah bertanya kembali,  dengan kerlingan penuh makna.
“Ya,  lelaki... .  Aku hanya melihat,  tetapi tidak mengenali...,” cerita Siti Zulaikha, sedikit segan. Malu juga jika dikesan Munirah yang dia sedang mengenang seseorang yang langsung tidak diketahui namanya.
“Huh!  Bagaimana boleh mengenang seseorang yang asing?”  protes Munirah, lancar.
Siti Zulaikha serta merta menarik muka. Memang sudah dijangkanya yang dia akan mendengar teguran selancar itu. Bukan dia tidak kenal Munirah yang menjadi rakan sepermainannya sejak kecil.
“Tiada apa-apalah, Munirah. Hanya mainan perasaanku. Lambat laun, hilanglah ingatan ini...,” balasnya, perlahan.  Dia berharap agar dapat membuang rasa yang tidak tahu hujung pangkalnya itu.
Namun,  harapan hanya tinggal harapan. Wajah pemuda misteri itu sentiasa di hujung matanya. Seperti ada sesuatu yang mengaitkan anak muda itu dengan dirinya.
Walaupun hati terkenang, dia tetap dibelengu rasa curiga terhadap anak muda itu. Siapa tahu, anak muda itu berniat serong pada ayahnya. Gadis itu serta-merta mengetap bibir.
Ayahnya juga sudah beberapa hari tidak pulang. Orang tua itu hanya meninggalkan pesanan pada Siti Zulaikha,  supaya memberitahu ibunya Zulaikha yang dia memang akan bermalam di dusun beberapa hari lagi.  Ada hal yang harus diselesaikan,  katanya.
Zulaikha terpaksa pulang menumpang Kak Zanariah yang datang membantu suaminya membersihkan kebun getah mereka yang berhampiran,  kerana ayahnya tidak pulang sama petang Ahad itu. 
“Ibu...  boleh Zulaikha lawat ayah hujung minggu ini?”  tanya gadis itu tatkala pulang dari sekolah petang Jumaat itu.  Entah mengapa hatinya bagai digamit ke sana. Ada beberapa persoalan yang ingin dileraikan, walaupun dia tahu dirinya bukan berkait sama.
Ibunya,  Hajah Rokiah serta merta merenung wajah gadis itu dengan penuh persoalan. Gadis itu tidak perlu menunggu lama untuk mendengar teguran si ibu, “Bukankah ada orang muda bersama ayah kamu?  Tak segankah?”
Siti Zulaikha terperonyok di tepi jenang pintu. Pipinya tiba-tiba terasa berhaba. Malu pula rasanya ditegur sebegitu rupa.
“Jadi anak dara ini,  harus tebal malunya...,”  terdengar suara ibunya yang lembut menegur. Wanita berusia lebih dari separuh abad itu langsung tidak memandangnya,  sebaliknya sibuk mengangkat pinggan kotor yang telah diatur bertingkat-tingkat untuk dibawa ke sinki.
Siti Zulaikha tersenyum malu. Nampaknya,  mata tua ibunya cepat menangkap apa yang tersirat di sebalik wajahnya.  Bibir  mungilnya digigit sekilas. Dia masih ligat mencari jalan agar rasa ingin tahunya terlerai.
“Mak...,”  panggilnya lagi, manja.
“Hm...,”  sahut ibunya,  acuh tidak acuh sahaja.  “Apa lagi... ?”  Mengeluh orang tua itu.
“Sudah lama ayah di dusun.   Agaknya beras di pondokpun tidak bersisa lagi. Biarlah Zulaikha bawakan beras dan rempah-rempah untuk ayah,” ucapnya,  sambil memerhati gerak-geri ibunya tanpa berkelip. “Esok biarlah Zulaikha ikut Kak Zanariah ke dusun... .”
Ibu tua itu melenggokkan kepalanya beberapa kali. Matanya merenung anak gadisnya yang memang berwajah keanakan dan sedikit nakal.Bukannya dia tidak kenal riak wajah manja itu. Tentu ada sesuatu yang mahu dilakukan si gadis.
Hajah Rokiah kenal sangat anaknya. Siti Zulaikha jarang diam selagi dia tidak dapat menguraikan apa yang ingin diketahuinya. Anak itu terlalu sukakan alam. Dia suka belajar dan mencari. Setiap ciptaan Tuhan itu,  dia mahu rungkaikan rahsianya. Dia adalah perintis yang mahu mendedahkan keajaiban alam,  itulah kata-kata yang lekat di bibirnya.
Atas sebab sikap ingin tahunya, Siti Zulaikha memilih bidang Sains sewaktu di maktab perguruan. Cinta pada bidang itu terpancar di matanya tatkala setiap misteri alam ini dapat difahaminya.
Gadis itu cerdik,  namun akalnya bergantang. Tidak seperti gadis seusianya yang mula berbicara tentang pasangan hidup, dia masih berbicara tentang haiwan dan jenisnya,  kategori tumbuhan,  fungsi itu dan ini, sehinggakan bicaranya tidak menarik perhatian gadis seusianya. Adakalanya, bicaranya menjadi bahan ketawa kawan-kawannya.
Atas sebab itu, Siti Zulaikha agak terpinggir dari kumpulan gadis lain. Jika mereka suka ke bandar membelek pakaian di kedai pada hujung minggu, gadis ini lebih suka mengikut ayahnya ke hutan. Menanak nasi dan menebas adalah sebab kedua dia ke sana. Sebab utamanya,  dia suka membelek alam sedekat-dekatnya,  hinggalah pada titisan embun,  renjisan hujan dan entah apa-apa lagi.
Ada kalanya, timbul rasa kasihan di hati ibu tua itu, mengenangkan anaknya yang tidak seperti orang lain. Tumpuan minatnya tidak seperti wanita, tetapi dia tidaklah kasar dan kuat seperti gadis tomboy. Dia seorang yang hidup dalam dunianya sendiri. Tenggelam dalam keasyikannya menilik alam.
Entah mengapa pula hari ini dia tiba-tiba seperti minat untuk menilik manusia...  lelaki pula...  dan muda? Adakah anak ini sudah beralih tumpuannya? Si ibu tua tertanya-tanya sendirian.
Diulik pertanyaan-pertanyaan itu, Hajah Rokiah mengalah akhirnya. “Esok kamu pergi pagi...  tetapi petang kamu harus ikut Kak Zanariah pulang ke sini. Jangan pandai-pandai tidur di sana... .”
Alhamdulillah... Akhirnya! Siti Zulaikha tersenyum lapang. Dia mengucap syukur kerana ibunya percayakannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan